Ahad, 30 Oktober 2016 | 10:51pm
SEORANG pengawal keselamatan Arab Saudi mati ditembak dan seorang lagi cedera selepas tembakan dilepaskan daripada sebuah kenderaan di Wilayah Timur Qatif. - Foto hiasan/Google

Pengawal keselamatan Arab Saudi mati ditembak

DUBAI: Seorang pengawal keselamatan Arab Saudi mati ditembak dan seorang lagi cedera selepas tembakan dilepaskan daripada sebuah kenderaan di Wilayah Timur Qatif, lapor televisyen al-Arabiya, hari ini.

Menurut rangkaian televisyen itu, dua pegawai keselamatan terbabit sedang melakukan rondaan ketika kejadian itu berlaku.

Ia tidak memberi sebarang maklumat mengenai penyerang. Sebaliknya mengatakan pihak berkuasa dijangka mengumumkan butiran lanjut kemudian.

Minggu lalu, lelaki bersenjata menembak dua pengawal keselamatan di kawasan kediaman dekat Dammam.

Dua kematian turut dilaporkan di bandar yang sama pada September lalu.

Wilayah Timur adalah kawasan yang menempatkan pengeluar minyak Arab Saudi dan kediaman penganut mazhab Syiah di negara penduduk majoriti Sunnah konservatif.

Penduduk Syiah marah terhadap serangan yang disifatkan sebagai penindasan terhadap mereka dengan menyerang pengawal keselamatan di wilayah itu dalam beberapa insiden serangan.

Kumpulan militan Daesh yang menguasai beberapa wilayah di Syria dan Iraq mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa serangan terhadap pengawal keselamatan, termasuk serangan bom dan tembakan di kawasan Syiah itu. - Reuters

Berita Harian X