Sabtu, 29 Oktober 2016 | 12:43pm
TAUFAN Matthew yang membadai Haiti pada 4 Oktober lalu menyebabkan kerugian hampir AS$2 bilion (RM8.4 bilion). - Foto AFP

Haiti kerugian AS$2b akibat Taufan Matthew

PORT-AU-PRINCE: Taufan Matthew yang membadai Haiti pada 4 Oktober lalu menyebabkan kerugian hampir AS$2 bilion (RM8.4 bilion).

Kajian oleh Bank Dunia dan Bank Pembangunan Antara-Amerika (IADB) meletakkan anggaran kos kerosakan dan kerugian ekonomi pada 124 bilion gourde Haiti (AS$1.89 bilion), kata pegawai Kementerian Ekonomi dan Kewangan.

Ribut itu, yang meragut 546 nyawa menurut perangkaan rasmi, membadai ekonomi lemah negara itu, antara yang termiskin di dunia, dengan kerugian mewakili secara kasar satu perlima Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.

Wilayah Selatan Haiti teruk dilanda angin sekuat 250 kilometer sejam dengan hujan lebat.

Sektor pertanian sahaja mengalami kerugian dianggarkan hampir AS$600 juta (RM2.5 bilion) dan hujan lebat.

Lebih 175,000 penduduk kehilangan tempat tinggal, dengan kerugian dianggarkan hampir AS$600 juta (RM2.5 bilion), kata pakar ekonomi.

Pusingan pertama pilihan raya presiden pada 2015 dibatalkan kerana penipuan besar-besaran dan dijadualkan semula pada 9 Oktober lalu.

Namun ketibaan taufan memaksa ia ditangguhkan lagi, dengan pusingan seterusnya ditetapkan pada 20 November dan 29 Januari 2017.

Cabaran terbesar bagi pegawai pilihan raya adalah mencari lokasi pengundian sesuai: lebih 500 sekolah, yang selalunya digunakan pada hari pengundian, rosak atau musnah. - AFP

Berita Harian X