Sabtu, 29 Oktober 2016 | 12:12pm

Lori terbabas, beratus tong gas bertaburan

ANTARA ratusan tong gas bertaburan di atas jalan raya di Kilometer 274.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara di sini, pagi tadi.

SEREMBAN: Sebuah lori membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG) terbabas, menyebabkan ratusan tong gas bertaburan di atas jalan raya di Kilometer 274.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu menyebabkan seorang penunggang motosikal cedera ringan terkena tong gas ketika melalui laluan itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badrol Tamam Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.50 pagi sebelum bergegas ke lokasi bersama satu jentera serta tujuh pegawai dan anggota.

"Sebaik tiba, kita mendapati sebuah lori membawa muatan 600 tong LPG terbabas ke bahu jalan, menyebabkan tong bertaburan di jalan raya," katanya di sini, hari ini.

Badrol Tamam berkata, pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X