Sabtu, 29 Oktober 2016 | 5:30am

Masa untuk Mourinho terus bangkit, Spurs menyerlah

PENGURUS Chelsea, Jose Maorinho (kiri) bersama Pengurus Spurs, Antonio Conte. - Foto http://www.dailymail.co.uk/

KOLUM APA KATA: Kejayaan Chelsea membelasah Manchester United, 4-0, di laman sendiri minggu lalu paling mendapat perhatian. Tiada siapa menyangka Jose Mourinho akan diaibkan sebegitu rupa tatkala ramai beranggapan sebaliknya.

Barisan Antonio Conte seolah-olah tiada belas kasihan untuk menyambut kepulangan bekas wira The Blues itu ke Stamford Bridge yang dipecat sebagai pengendali pasukan berkenaan pada Disember tahun lalu.

Kesan daripada keputusan itu memang besar. Selain Mourinho yang sangat terasa dengan kekalahan itu, penyokong setia The Red Devils di seluruh dunia termasuk Malaysia turut menerima tempiasnya.

Mereka menjadi bahan lawak di hampir semua platform media sosial. Namun rasa kecewa itu terubat jua pada pertengahan minggu apabila, United berjaya menyingkirkan jiran bising mereka, Manchester City dalam saingan Piala Liga, dengan keputusan 1-0 dan sekali gus layak ke suku akhir bertemu West Ham.

Selepas kekalahan itu, Mourinho dilapor memohon maaf kepada penyokong setia Red Devils sambil merakamkan ucapan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bagi mereka sepanjang dia mengendalikan pasukan.

Kita lupakan kisah aksi tumpuan minggu lalu itu. Sekarang kita imbas pula keputusan keseluruhan minggu lalu. Nampaknya City terus menerajui takhta liga buat minggu kesembilan.

Namun kali ini skuad The Citizens hanya dibezakan dengan kelebihan jaringan ke atas pesaing terdekat, Arsenal di tempat kedua dan Liverpool di kedudukan ketiga. Ketiga-tiga pasukan ini mengumpulkan 20 mata selepas sembilan perlawanan.

Pun begitu, keputusan seri 1-1 dengan Southampton jelas satu tamparan hebat buat pengendali City, Pep Guardiola kerana kedudukan The Citizens semakin goyah di persada liga sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kewibawaan mereka untuk menjadi juara musim ini.

Tentunya pening Guardiola nak cari jawapan bagi merungkaikan masalah kebuntuan barisan depan bagi menghadapi perlawanan seterusnya. Menarik untuk kita saksikan aksi mereka minggu ini dan seterusnya.

Sementara itu, kemenangan Chelsea ke atas United membantu melonjakkan mereka pada kedudukan keempat liga manakala The Red Devils kekal di tangga ketujuh.

Dalam pada itu, Arsenal gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila hanya mampu terikat 0-0 dengan Middlesbrough, tatkala Liverpool semakin ghairah untuk merampas kedudukan di puncak liga hasil kejayaan menjinakkan West Brom, 2-1.

Bagi minggu ke-10 ini, nampaknya agak sukar untuk kita memilih perlawanan yang benar-benar boleh dianggap sebagai tumpuan.

Namun berdasarkan kepada reputasi semasa, nampaknya perlawanan Tottenham Hotspur menentang Leicester City di White Hart Lane pada Sabtu ini menjadi pilihan.

Ketika ini Spurs menduduki tangga ke-4 dengan himpunan 19 mata, hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, City selain Arsenal dan Liverpool. Leicester atau The Foxes pula, selaku penyandang juara berada di kedudukan ke-12 liga dengan himpunan 11 mata.

Dalam aksi terakhir kedua-dua pasukan ini dalam saingan EPL di White Hart Lane pada 13 Januari lalu, Leicester mengejutkan Spurs 1-0, manakala pada 22 Ogos di Stadium King Power, kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas terikat 1-1.

Pada 21 Mac 2015, di White Hart Lane, Spurs berjaya memenangi pertemuan itu dengan keputusan 4-3 manakala 26 Disember di Stadium King Power, Spurs pula berjaya memenangi pertemuan itu, 2-1. Dan pada aksi terakhir, 22 Februari 2004, di White Hart Lane, kedua-dua pasukan berpesta gol yang diakhiri dengan keputusan 4-4.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh EPL, dalam 20 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ini, Leicester menang sebanyak sembilan kali manakala Spurs, tujuh kali, selain kedua-duanya seri sebanyak empat kali. Spurs menang sebanyak empat kali dl laman sendiri manakala lima bagi Leicester.

Jika kita melihat aksi terakhir kedua-dua pasukan, nampaknya Leicester semakin berkeyakinan apabila mudah menundukkan Crystal Palace, 3-1, sebaliknya Spurs pula hanya mampu berkongsi mata dengan Bournemouth selepas terikat 0-0.

Saya memilih untuk meletakkan Spurs sebagai pemenang bagi aksi ini.

Sementara itu, bagi aksi lain, saya jangkakan City tiada masalah besar untuk mengatasi West Brom apabila berkunjung ke laman lawannya. Kemenangan sudah pasti akan terus membolehkan pasukan ini menerajui takhta liga.

Arsenal juga seharusnya mengutip mata penuh apabila berkunjung ke Sunderland bagi terus menekan barisan Guardiola di persada liga manakala Liverpool yang bertemu Crystal Palace, harus tiada masalah mengutip mata bagi kekal bersaing untuk ke puncak.

Chelsea pula berdepan tugas sukar apabila berkunjung ke Southampton manakala United harus bangkit apabila melayan kunjungan Burnley di Old Trafford. Selama menonton.

Ramalan Minggu ke-10:
Sunderland 0 Arsenal 4
Watford 1 Hull City 1
West Brom 1 Manchester City 4
Manchester United 3 Burnley FC 1
Tottenham 3 Leicester City 1
Middlesbrough 1 Bournemouth 1
Crystal Palace 2 Liverpool 3
Everton 1 West Ham 0
Southampton 2 Chelsea 1
Stoke City 2 Swansea City 1

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X