Selasa, 25 Oktober 2016 | 3:52pm

MUIP sedia RM25 juta bantu pelajar kurang mampu


Taklimat bantuan zakat dan slot bersama PKZ. - Foto ihsan http://www.muip.gov.my/

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM25 juta sepanjang tahun ini untuk pemberian derma siswa kepada pelajar keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

Setiausahanya, Datuk Ahmad Hairi Hussin, berkata  sumbangan derma siswa itu diberi kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta dalam dan luar negara.

"Jumlah dikeluarkan sejak Januari lalu hingga kini sudah dimanfaatkan kira-kira 20,000 penerima, meningkat seramai 8,675 orang daripada 11,325 pelajar menerusi peruntukan sebanyak RM14 juta pada tahun lalu.

"Peningkatan jumlah penerima bantuan dan peruntukan derma siswa ini membuktikan MUIP sedaya upaya membantu meringankan beban ditanggung pelajar golongan kurang kemampuan," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan wang zakat kepada 121 pelajar Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini, hari ini.

Seramai 18 pelajar peringkat diploma menerima sumbangan RM500 seorang, manakala RM1,000 diberikan kepada  103 pelajar peringkat ijazah di kolej berkenaan.

Ahmad Hairi berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan program pendidikan dan memastikan pelajar dapat menumpukan fokus kepada pengajian mereka.

"Kita berharap pelajar dapat menggunakan bantuan disalurkan ini dengan baik bagi membantu memudahkan proses pembelajaran mereka," katanya.

Berita Harian X