Isnin, 24 Oktober 2016 | 6:34pm

Belon meletup: Polis rekod keterangan lima saksi

PENGARAH Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar (kiri) melawat Rafeah Bakar, 49, salah seorang mangsa yang terkena belon meletup yang masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). - Foto Aswadi Alias.

PERMAISURI: Polis selesai merekodkan keterangan lima saksi berhubung kejadian letupan belon sehingga menyebabkan 31 peserta 'Walk For Blind" di Dataran Batu Buruk, Jumaat lalu, cedera.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, berkata empat saksi terdiri daripada mereka yang menyaksikan insiden itu, manakala seorang lagi adalah penganjur program terbabit.

"Setakat semalam, kita sudah rekod keterangan daripada lima saksi itu dan beberapa ahli jawatankuasa penganjur majlis untuk mengetahui bagaimana kejadian berlaku.

"Kita juga akan merekodkan percakapan syarikat pembekal belon bagi mengenal pasti mereka memenuhi spesifikasi ditetapkan pihak penganjur," katanya kepada pemberita di tapak pelupusan barang kes narkotik di lapang sasar, Lembah Bidong, di sini, hari ini.

Rosli berkata, siasatan berhubung insiden itu dibuat daripada sudut kecuaian.

"Bagi penganjur dan pembekal, kita akan lihat apakah langkah keselamatan yang mereka ambil bagi mengelakkan berlaku kemalangan.

"Kita juga difahamkan, satu atau dua daripada kalangan yang hadir pada majlis menggunakan mancis atau pemetik api untuk memotong tali pada belon sehingga menyambar belon dan meletup," katanya.

Beliau menyarankan penganjur merujuk kepada Bahagian Pesenjataan dan Pemusnah bom polis mengenai langkah keselamatan yang boleh diambil bagi mengelak kejadian berulang.

"Sehingga kini, tiada peraturan dan undang-undang spesifik yang boleh diambil terhadap penjual belon berisi gas helium, termasuk permit daripada pihak berkuasa tempatan, sebaliknya hanya sekadar permit perniagaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, setakat ini, polis hanya menerima dua laporan polis daripada anggota polis dan penganjur berhubung kejadian itu.

"Kita belum terima laporan dibuat oleh mangsa atau keluarga mereka," katanya.

Berita Harian X