Ahad, 23 Oktober 2016 | 10:49am

Hamilton raih petak utama GP Amerika

JUARA bertahan Lewis Hamilton. - Foto Reuters
JUARA bertahan Lewis Hamilton. - Foto Reuters

AUSTIN: Juara bertahan Lewis Hamilton meraih petak depan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat mengatasi rakan sepasukan dan pendahulu kejuaraan Nico Rosberg dalam sesi kelayakan, pagi tadi.

Pemandu Britain berusia 31 tahun itu mendominasi sesi kelayakan dengan mencatat rekod terpantas sepusingan dengan masa satu minit 34.999 saat sekali gus menjadi pemandu pertama mengatasi halangan bawah 1:35 saat.

Catatan itu juga lebih pantas 0.216 saat daripada Rosberg yang meraih petak kedua sekali gus menyaksikan pasangan Silver Arrows itu menguasai petak hadapan buat kali ke-10 berturut-turut musim ini.

Ia juga petak utama buat kali ke-58 Hamilton sepanjang kariernya, tetapi yang pertama di Litar Americas, di sebalik kemenangan dalam tiga daripada empat perlumbaan sebelum ini walaupun gagal mengungguli sesi kelayakan.

Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo menduduki petak ketiga di depan rakan sepasukan Max Verstappen dengan pemandu Ferrari Kimi Raikkonen dan juara dunia empat kali Sebastian Vettel pula menduduki tempat kelima dan keenam.

Hamilton memburu kemenangan ke-50 dalam GP Amerika Syarikat untuk menghidupkan peluangnya bersaing merebut kejuaraan dengan dia kini ketinggalan 33 mata kepada Rosberg tatkala berbaki empat perlumbaan.

"Saya berterima kasih kepada penonton kerana saya boleh mendengar mereka memberi sokongan dan ia jelas memberi tenaga serta semangat kepada saya," kata Hamilton.

"Ini adalah petak pertama saya di sini dan ia menakjubkan. Saya sudah mencubanya beberapa tahun sebelum ini.

"Saya amat gembira dan ia memberi peluang yang baik kepada saya ketika perlumbaan esok." - AFP

Keputusan sesi kelayakan:

1. Lewis Hamilton (GBR) Mercedes 1:34.999 saat

2. Nico Rosberg (GER) Mercedes 1:35.215

3. Daniel Ricciardo (AUS) Red Bull-TAG Heuer 1:35.509

4. Max Verstappen (NED) Red Bull-TAG Heuer 1:35.747

5. Kimi Raikkonen (FIN) Ferrari 1:36.131

6. Sebastian Vettel (GER) Ferrari 1:36.358

7. Nico Hülkenberg (GER) Force India-Mercedes 1:36.628

8. Valtteri Bottas (FIN) Williams-Mercedes 1:37.116

9. Felipe Massa (BRA) Williams-Mercedes 1:37.269

10. Carlos Sainz Jr (ESP) Toro Rosso-Ferrari 1:37.326

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X