Ahad, 23 Oktober 2016 | 7:49am

Lelaki cedera terjatuh ketika daki Gunung Irau

ANGGOTA bomba membawa keluar mangsa yang cedera di Gunung Irau menggunakan pengusung. - Foto ihsan Bomba
ANGGOTA bomba membawa keluar mangsa yang cedera di Gunung Irau menggunakan pengusung. - Foto ihsan Bomba

IPOH: Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera belakang badan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Irau di Cameron Highlands, Pahang petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa yang mengikuti kumpulan 30 pendaki dipercayai terjatuh dan cedera akibat terkena batu.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Hisyam Zakariah, mangsa diberi bantuan awal oleh sepasukan anggota bomba bersama anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan pasukan Pelbagai Kemahiran (MUST) yang kebetulan berada berhampiran lokasi.

"Pasukan bomba, STORM dan MUST ketika itu kebetulan dalam perjalanan turun dari gunung berkenaan selepas menjalani latihan anjuran Kelab Sukan Ibu Pejabat JBPM negeri dan dimaklumkan ada orang awam terjatuh ketika mendaki.

MANGSA yang mengikuti kumpulan 30 pendaki dipercayai terjatuh dan cedera akibat terkena batu. - Foto ihsan Bomba
MANGSA yang mengikuti kumpulan 30 pendaki dipercayai terjatuh dan cedera akibat terkena batu. - Foto ihsan Bomba

"Pasukan khas yang menjadi pengiring keselamatan dalam latihan berkenaan terus bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring tidak boleh berjalan. Pengusung yang dibawa bersama ketika latihan kemudian digunakan untuk mengangkat mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hisyam berkata, cerun sehingga 75 darjah serta tanah berlumpur dan becak akibat hujan lebat pada sebelah pagi menyukarkan operasi menyelamat lelaki terbabit yang mengambil masa kira-kira empat jam.

"Pengusung diangkat secara bergilir-gilir sejauh 1.4 kilometer dari lokasi mangsa jatuh sebelum tiba di luar kawasan gunung berkenaan pada jam 8 malam. Mangsa dibawa ke Hospital Brinchang untuk rawatan," katanya.

Berita Harian X