Ahad, 23 Oktober 2016 | 7:47am

Gol McAuley halang hajat Liverpool

PEMAIN West Bromwich Albion, Gareth McAuley meraikan jaringan ketika bertemu Liverpool di Anfield. - Foto Reuters

LONDON: Gol Gareth McAuley pada minit ke-81 menghalang Liverpool daripada menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris ketika mereka menewaskan West Bromwich Albion 2-1, awal pagi tadi.

Memerlukan kemenangan dua gol untuk mengatasi pendahulu Arsenal, Liverpool mendahului 2-0 menerusi jaringan Sadio Mane dan Philippe Coutinho, tetapi gol McAuley menyaksikan mereka terpaksa akur menduduki tangga kedua kerana perbezaan jaringan.

Arsenal terdahulu sekadar seri 0-0 ketika menentang Middlesbrough, sementara Tottenham Hotspur yang menduduki tempat keempat turut buntu tanpa jaringan di Bournemouth.

"Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan," kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp kepada Sky Sports.

"Ia perlawanan sukar menentang West Brom. Kamu perlu sentiasa fokus. Mereka juga amat berbahaya ketika set-pieces.

"Tetapi saya fikir ia satu jenaka jika kami gagal menang hari ini. Ia sukar dipercayai, bagaimana kami bermain."

Manchester City yang dibimbing Pep Guardiola boleh merampas kedudukan selaku pendahulu malam ini sekiranya mereka boleh mengelak kekalahan ketika melayan kunjungan Southampton, manakala Jose Mourinho akan pulang semula ke Chelsea bersama Manchester United.

Klopp membuat satu pertukaran berbanding barisan yang terikat seri 0-0 ketika menentang United Selasa lalu, dengan Adam Lallana yang kembali cergas membarisi kesebelasan utama mengetepikan Daniel Sturridge.

Roberto Firmino yang mengetuai jentera serangan susulan ketiadaan Sturridge memainkan peranan penting untuk gol pertama Liverpool apabila melakukan hantaran yang membolehkan Mane melakukan voli pada minit ke-20 yang juga gol keempatnya musim ini.

Kesilapan penjaga gol West Brom Ben Foster menyepak lemah menyaksikan Coutinho menggandakan jaringan 15 minit kemudian selepas mendapat hantaran Mane sebelum McAuley merapatkan jurang pada lewat permainan. AFP

Berita Harian X