Ahad, 23 Oktober 2016 | 12:17am

Vendeat hasil kreativiti graduan

KUANTAN: Budaya membeli makanan secara dalam talian yang semakin berkembang kini, dimanfaatkan dua graduan Kolej Antarabangsa IKIP di sini, untuk menjadi vendor kepada 30 peniaga lain, secara memasarkan pelbagai menu makan tengah hari kepada warga bandar ini setiap hari.

Kafe Vendeat yang diusahakan Mohamad Hafiz Ariff, 28, bersama rakan kongsi, Siti Nadirah Sheikh Mohd Yusof, 28, memudahkan pelanggan mendapatkan set makan tengah hari, tanpa perlu keluar dari rumah atau pejabat kerana khidmat penghantaran disediakan.


MOHAMAD Hafiz Ariff, menunjukkan pelbagai menu makan tengah hari yang disediakan Kafe Vendeat. - Foto Farizul Hafiz Awang

Selain itu, kafe yang terletak di Jalan Bukit Ubi terbabit, juga menjadi tumpuan pelanggan yang mahu menikmati hidangan di situ atau membeli pulang pelbagai jenis kek dan juadah yang ditawarkan sepanjang hari.

Sejak beroperasi mulai tahun lalu, Vendeat menyediakan penghantaran makanan dengan caj berpatutan kepada pelanggan dari sekitar bandar ini hingga ke Gambang dan Pekan.

Memanfaatkan media sosial seperti Instagram dan Facebook sebagai medium perniagaan, Mohamad Hafiz berkata, selepas kira-kira setahun beroperasi, Vendeat berjaya meraih kepercayaan ramai hingga mempunyai pelanggan tetap.

"Kami menggunakan konsep vendor kerana mahu berkongsi peluang dengan lebih ramai peniaga makanan menjana pendapatan bersama, selain menjadikan Vendeat tempat pilihan mereka yang mahukan kelainan dalam menu harian.


KAFE Vendeat menawarkan lebih 30 jenis dan menu makanan pada harga RM2 hingga RM12 sebekas. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Kami menawarkan lebih 30 jenis dan menu makanan pada harga RM2 hingga RM12 sebekas. Antara yang mendapat sambutan hangat pelanggan adalah nasi ayam penyet, popia sira, mee ketam, spageti karbonara dan nasi asam pedas pari serta gulai tempoyak ikan patin.

"Menu makanan Korea yang ditawarkan pada harga RM5 hingga RM12 sebekas juga mempunyai permintaan dalam kalangan pelanggan Vendeat sekitar bandar ini," katanya.

Malah, kafe itu turut menjual pek jimat sarapan antaranya nasi minyak (RM2), spageti bolognese (RM3) dan lempeng ikan bilis (RM3)

Mohamad Hafiz berkata, menu makan tengahari yang disediakan, diubah setiap hari bagi memastikan pelanggan tidak jemu, selain memberi kepelbagaian kepada mereka yang mahu menikmati makanan di sini.

Katanya, Vendeat tidak menetapkan jumlah pesanan minimum tetapi mengenakan caj penghantaran yang berpatutan, bagi setiap tempahan dan secara purata mereka mengendalikan kira-kira 15 penghantaran setiap hari.

"Pelanggan dikenakan caj serendah RM3 untuk sekitar bandar ini, manakala RM6 bagi kawasan Indera Mahkota, Sungai Isap dan Tanjung Lumpur.


KAFE Vendeat adalah perniagaan secara dalam talian berkonsepkan khidmat penghantaran ke lokasi pelanggan. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Penghantaran sekitar Gambang dan Pekan dikenakan caj RM15 hingga RM20 dan tempoh setiap penghantaran mengambil masa kurang daripada satu jam bergantung jarak perjalanan," katanya yang kini mampu meraih jualan sehingga RM1,500 sehari.

Mohamad Hafiz yang juga graduan Diploma Kewartawanan Kolej Antarabangsa IKIP, berkata pelanggan hanya perlu menghubungi mereka menerusi aplikasi WhatsApp (Vendeat) atau telefon 011-51184377 bagi membuat pesanan.

Beliau berkata, selain disertai 30 peniaga yang menyediakan pelbagai jenis makanan, Vendeat juga memberi peluang kepada mereka yang berminat dalam perniagaan itu sebagai krew, terutamanya pelajar kolej untuk memperoleh pendapatan sampingan.

INFO:

* Vendeat berasal daripada perkataan Vendor dan Eat.

* Instagram: Vendeatfl dan Facebook: Vendeat FLover

* Urus niaga bermula jam 8.30 hingga 6 petang setiap hari bekerja dan jam 9.30 pagi hingga 6 petang pada Sabtu.

* Pemanis mulut ala Korea, Bingsu dengan harga RM6

* Dibantu seorang pekerja di kafe dan seorang penghantar makanan.

* Waktu penghantaran bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang setiap hari bekerja.

* Turut menjual pek jimat sarapan antaranya nasi minyak (RM2), spageti bolognese (RM3) dan lempeng ikan bilis (RM3)

* Antara kek dijual ialah kek batik, brownies dan kek keju mangga.

KAFE Vendeat menggunakan konsep vendor kerana mahu berkongsi peluang dengan lebih ramai peniaga makanan menjana pendapatan bersama. - Foto Farizul Hafiz Awang
PELANGGAN membungkus makanan di kedai makan Vandeat di Jalan Bukit Ubi Kuantan. - Foto Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X