Ahad, 23 Oktober 2016 | 12:04am
TAKLIMAT ringkas sebelum ekspedisi.
TAKLIMAT ringkas sebelum ekspedisi.
BATUAN unik akibat formasi batu kapur jutaan tahun.
BATUAN unik akibat formasi batu kapur jutaan tahun.

Rahsia terowong Tambun

THE Princess yang berkilau seperti permata apabila terkena cahaya lampu.
THE Princess yang berkilau seperti permata apabila terkena cahaya lampu.

PEKAN kecil berdekatan Ipoh, Perak iaitu Tambun mendapat jolokan Tujuh Keajaiban daripada penduduk setempat gara-gara hasil semula jadinya, sejarah silam dan mitos sehingga menarik kehadiran pelancong ke kawasan bekas lombong bijih timah yang dikelilingi hutan dan bonjolan batu kapur berusia ratusan juta tahun.

Penemuan Terowong Enam Batu atau 6th Mile Tunnel beberapa tahun lalu menjadi daya penarik dalam kalangan pengembara lasak.

Bersama-sama dengan jurulatih sukan ekstrem, Muhamad Syahdan Mat Rodzi yang juga bertindak sebagai jurupandu, penulis merasai sendiri menjelajah terowong itu yang sebenarnya adalah rangkaian gua batu kapur dengan batuan kristal berusia jutaan tahun.

Batu kristal itu dikatakan sangat berharga, khususnya kepada masyarakat Cina menjadi nilainya mencecah ratusan ribu ringgit.

Muhammad Syahdan memaklumkan untuk memasuki terowong itu, bukan saja perlu berjalan dan merangkak, tetapi juga mengharungi air separas pinggang dalam keadaan gelap.

MERENTASI paya sebelum tiba di pintu terowong.
MERENTASI paya sebelum tiba di pintu terowong.

Walaupun membawa lampu suluh tetapi kami diminta berwaspada sepanjang masa kerana kebarangkalian bertemu ular yang berenang di permukaan air, sangat tinggi!

Sebelum memulakan ekspedisi, setiap pelawat memang akan diingatkan oleh jurupandu mengenai pantang larang dan langkah keselamatan yang mesti dipatuhi.

Ini kerana terowong batu kapur berusia jutaan tahun, ada kalanya sesetengah kawasan 'berpenghuni' dan jangan sesekali menaikkan kemarahan 'mereka', buruk padahnya nanti!

TERPESONA keindahan bonjolan batu kapur.
TERPESONA keindahan bonjolan batu kapur.

Kristal matang, berkualiti

Sebelum ke pintu gua, kawasan berkenaan dipisahkan paya yang indah pemandangannya.

Setiap pelawat dilarang sama sekali memijak dasar paya berkenaan kerana ia dipenuhi selut!

Sekiranya kaki terperosok ke dalam selut, anda pula tidak pandai berenang, panik, situasi itu boleh mengancam nyawa!

Hampir setengah jam meredah kegelapan, akhirnya kami tiba di kawasan stalaktit dan stalagmit yang dipenuhi kristal matang dan berkualiti tinggi.

Kawasan dinding batu kapur yang mengandungi kristal matang dan berkualiti tinggi ini dikenali dengan nama The Princess.

MELEPASKAN lelah di tengah perjalanan.
MELEPASKAN lelah di tengah perjalanan.

"Pelancong dilarang membawa keluar The Princess. Inilah warisan yang masih tersimpan dalam terowong batu kapur kita. Ramai pengunjung meneroka 6th Mile Tunnel sebab nak tengok kristal berkualiti, ia menyajikan panorama yang sangat indah, berkilau seperti permata apabila terkena cahaya lampu suluh" kata Muhammad Syahdan.

Jangan cepat panik

Ketika meraba-raba pada dinding terowong dalam kegelapan, jangan terkejut sekiranya tangan ada terpegang sesuatu yang licin. Jangan juga panik, kerana itu sekadar tahi kelawar! Warna dinding kawasan berkenaan coklat pekat, sah tiada kristal!

Lebih menarik, laluan dalam terowong ini pernah digunakan komunis dan pelombong bijih timah suatu ketika dulu. Ketika mengharung air, anda pasti menemui kawasan yang dipenuhi batuan pelbagai saiz, seolah-olah disusun sebagai tembok penghadang air untuk dijadikan empangan. Begitu juga tempayan usang dan peralatan mengangkut bijih timah yang sudah lama ditinggalkan masih boleh ditemui dalam terowong berkenaan.

PERALATAN mengangkut bijih timah yang lama ditinggalkan.
PERALATAN mengangkut bijih timah yang lama ditinggalkan.

TUJUH KEAJAIBAN TAMBUN:

* Lagenda kegagahan pahlawan Gangga Negara

* Gua Meditasi

* Formasi batu kapur seperti jarum dikenali The Needle of Tambun

* Tasik Boga

* Misteri Gua Dato

* Terowong Batu Kapur

* Sumber air panas

FAKTA NOMBOR:

* 7 kali - Tahap kegelapan malam dalam gua

* 100 tahun - Tempoh pembentukan stalaktit dan stalagmit matang

* 280 juta - Usia hutan batu kapur Tambun

INFO:

* Berdasarkan fakta sejarah, hutan dan bonjolan batu kapur sekitar Tambun dipercayai pernah didiami reptilia bersaiz gergasi atau dinosaur yang hidup pada zaman prasejarah.

* Terowong batu kapur sepanjang enam batu atau lebih dikenali sebagai 6th Mile Tunnel bersambung antara dua tasik, salah satunya ialah Tasik Boga. Berdasarkan mitos, seekor naga berkepala ikan pernah mendiami tasik berkenaan.

* Dinamakan 6th Mile Tunnel kerana perjalanan pergi dan balik menerokai gua batu kapur berkenaan adalah sejauh enam batu. 6th Mile Tunnel adalah antara tarikan terbaharu di Lost World of Tambun, Ipoh khususnya kepada mereka yang gemar aktiviti lasak dan mencabar.

* Pengembara lasak yang berkunjung ke Lost World Adventure Park berpeluang mencuba pelbagai aktiviti ekstrem. Keterangan lanjut layari: www.sunwaylostworldoftambun.com

Berita Harian X