Sabtu, 22 Oktober 2016 | 12:03am
MAK Anjang di hadapan gerainya. - Foto Saddam Yusoff
KEPALA ikan kenerak. - Foto Saddam Yusoff

Lagi pedas gulai asam rong, lagi sedap

PATIN goreng berlada. - Foto Saddam Yusoff

KALAU berkunjung ke pekan Jerantut, kena cuba masakan tradisionalnya iaitu gulai asam rong kepala ikan kenerak.

Mengambil kesempatan menjelajah ke Kuala Tahan, baru-baru ini, penulis singgah di Jerantut semata-mata mencari gulai itu.

Gerai Z & Z Mak Anjang yang terletak di medan selera berhampiran Majlis Daerah Jerantut, adalah antara puluhan gerai yang menyediakan hidangan gulai asam rong, paling sedap! Hendak tahu kehebatan gulai asam rong kepala ikan kenerak, penulis dan jurugambar pun cuba sendiri.

Sebaik saja menghirup kuahnya, kami 'menggelupur' kepedasan!

Pemilik gerai Z & Z Mak Anjang, Zaharah Sohar, 59, apabila pelanggan menikmati gulai asam rong dan rasanya sangat pedas, mereka tidak berhenti, sebaliknya terus menghirup kuah berkenaan.

Ada sesetengah pelanggan pula, berpeluh satu badan, basah kuyup kepalanya kerana menahan pedas, tetapi mereka terus teruja menikmati masakan tradisional itu.

Inilah yang dinamakan keunikan gulai asam rong Jerantut.

"Lagi pedas, lagi orang suka!

"Tapi, gulai asam rong yang Mak Anjang masak hari ini, sudah banyak kurang pedasnya kerana kebanyakan pelanggan kami, terutama dari luar Jerantut, tak tahan makan pedas.

"Bagi masyarakat tempatan, gulai asam rong yang mereka nikmati hari ini, tak pedas pun. Bagi Mak Anjang, nak lagi sedap, perlu pedas maksimum, barulah puas," katanya.

ANTARA set makan tengah hari pilihan pengunjung. - Foto Saddam Yusoff

Asam rong daripada biji getah

Memang benar kata Mak Anjang. Penulis sebenarnya tidak tahan dengan masakan yang terlalu pedas, tapi apabila berdepan dengan gulai asam rong kepala ikan kenerak, kami 'tewas' sampai keluar air mata menahan pedas, tetapi seperti kata Mak Anjang, lagi pedas, semakin sedap kuahnya dihirup!

Mak Anjang berkata, gulai asam rong sebenarnya adalah biji getah yang ditumbuk halus lalu diperam hingga bertukar warna daripada putih kepada hitam, sekali gus menghasilkan minyak dan itulah asam yang diperlukan.

Asam yang dihasilkan biji getah ini dikenali sebagai asam rong. Penyediaan gulai asam rong pula sedikit rumit dan memakan masa, kerana jika ia tidak dimasak dengan betul, boleh sakit perut.

"Bagi menambah selera, apabila menikmati nasi putih bersama gulai asam rong, ia perlu dimakan bersama ulam-ulaman dan yang paling popular ialah ulam keladat yang dicicah bersama sambal tempoyak," kata Mak Anjang yang peramah orangnya.

GULAI asam rong kepala ikan kenerak. - Foto Saddam Yusoff

FAKTA NOMBOR:

* 40 kilogram - ikan kenerak diperlukan sehari

* 150 orang - berkunjung ke gerai dalam sehari

* RM40 - harga sepinggan kepala ikan kenerak (bergantung saiz)

* 178 km - Jarak Jerantut dari Kuala Lumpur

INFO:

Gerai Z & Z Mak Anjang

* Alamat: No 4, Kompleks Niaga Fasa 1, Jalan Bidai, Bandar Baru Jerantut, Jerantut, Pahang

* No telefon: 013 305 7868 (untuk tempahan)

* Waktu beroperasi: Dibuka setiap hari (jam 9 pagi hingga 5 petang)

* Gulai asam rong atau rom adalah sejenis masakan tradisional berasaskan biji getah. Cuma ejaannya saja yang berbeza, rong atau rom bergantung kepada sebutan seseorang itu.

* Hanya ikan kenerak saja yang hidup liar di Sungai Pahang paling sedap apabila dimasak gulai asam rong. Boleh juga menggunakan ikan patin sebagai ganti, cuma rasanya kurang enak.

* Difahamkan gulai asam rong dipelopori masyarakat yang mendiami kawasan Jerantut hingga ke Ulu Tembeling saja dan rasanya paling sedap. Sekiranya gulai asam rong dihasilkan di tempat lain, bermakna ia kurang asli.

Berita Harian X