Khamis, 20 Oktober 2016 | 12:05am
ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama lukisan mural pada dinding lorong belakang bangunan CIMB di Jalan Lencongan Dua, Kangar, yang merupakan salah satu tarikan terbaru. - Foto Eizairi Shamsudin
ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama lukisan mural pada dinding lorong belakang bangunan CIMB di Jalan Lencongan Dua, Kangar, yang merupakan salah satu tarikan terbaru. - Foto Eizairi Shamsudin
MURAL pada dinding lorong belakang bangunan menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar kenangan. Foto Eizairi Shamsudin
PENGERUSI Persatuan Pelukis Negeri Perlis, Yaakob Abd Aziz. Foto Eizairi Shamsudin

Kangar Street Art ubah wajah bangunan terbiar


KANGAR: Pelbagai keunikan Perlis kini diterjemahkan menerusi lebih 80 mural yang menghiasi dinding bangunan usang di tengah bandar ini, yang diharap dapat membantu sektor pelancongan domestik.

Menjadikan dinding lorong belakang bangunan usang di tengah bandar ini sebagai 'kanvas', semua mural itu dipersembahkan dengan kreativiti tersendiri untuk menampilkan tarikan serta keunikan yang selama ini sinonim serta menjadi identiti Perlis.

Antara paparan mural yang dihasilkan termasuklah Awang Batil iaitu seni penglipur lara Perlis yang semakin dilupakan, selain Harumanis yang dianggap sebagai mempelam ikon negeri.

Tidak ketinggalan paparan kehidupan petani Perlis zaman dahulu dengan sawah padi terbentang serta pelbagai keunikan Perlis lain seperti Gua Kelam dan banyak lagi, yang rata-ratanya bertepatan dengan tema dipilih iaitu 'Colours of Perlis'.

Semua mural itu dihasilkan lebih 30 pelajar pendidikan seni visual sekolah menengah dari seluruh negara menerusi program 'Kangar Street Art' sempena Festival Kesenian Peringkat Kebangsaan 2016 pada 9 Oktober lalu.

ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama lukisan mural pada dinding lorong belakang bangunan CIMB di Jalan Lencongan Dua, Kangar, yang merupakan salah satu tarikan terbaru. - Foto Eizairi Shamsudin

SEBAHAGIAN daripada peserta peserta dari seluruh negara yang mengambil bahagian untuk menghasilkan lukisan mural pada dinding lorong belakang bangunan CIMB di Jalan Lencongan Dua, Kangar. - Foto Eizairi Shamsudin

Kini lorong belakang bangunan sepanjang kira-kira 100 meter di Jalan Lencongan 2 di sini, yang sebelum ini sepi dan usang, mula berubah wajah dengan kehadiran mural berkenaan yang menghiasi kiri dan kanan dinding bangunan sekali menjadi tarikan baharu buat Perlis.

BH yang meninjau keunikan baharu itu turut teruja melihat perubahan keadaan lorong belakang berkenaan yang kelihatan seakan-akan bernyawa, malah rata-rata orang ramai yang ditemui melahirkan rasa bangga dengan kewujudan Kangar Street Art itu.

Peniaga, Fariza Khalid, 33, mengakui tidak melepaskan peluang melihat sendiri keindahan mural unik itu selepas mengetahui kewujudan melalui laman sosial Facebook yang dimaklumkan anak-anaknya.

"Sebelum ini kita sedia maklum ada lukisan seperti ini di Kedah dan Pulau Pinang. Bagi saya tentulah agak jauh untuk ke sana semata-mata untuk bergambar.

"Kini di kangar sendiri sudah ada lukisan sebegini dan ia juga percuma untuk kami lihat dan bergambar. Saya syorkan orang ramai datang dan bawa anak-anak ke sini kerana lokasinya terletak di tengah bandar sahaja," katanya.

MURAL membawa keceriaan kepada lorong belakang bangunan di Jalan Lencongan Dua, Kangar. Foto Eizairi Shamsudin

SEBAHAGIAN daripada peserta peserta dari seluruh negara yang mengambil bahagian untuk menghasilkan lukisan mural pada dinding lorong belakang bangunan CIMB di Jalan Lencongan Dua, Kangar. - Foto Eizairi Shamsudin

Pelajar, Shafikah Saadon, 17, berkata kewujudan Kangar Street Art itu sudah kecoh sejak ia masih dalam pembikinan dan rata-rata rakan sekolahnya mula berkira-kira bergambar di sana.

"Kami mengetahui (kewujudan Kangar Street Art) ini melalui guru selepas sesi pemilihan pelajar melukis pada dinding berkenaan.

"Masing-masing tidak sabar untuk tunggu hari minggu untuk datang bergambar dan muralnya juga cantik dan ada identiti Perlis," katanya.

Pengarah Jabatan Pendidikan (JPN) Perlis, Izmi Ismail, berkata konsep mural diketengahkan melalui Kangar Steet Art itu ialah kepelbagaian budaya dan gaya hidup masyarakat di Perlis dan pihaknya selaku penganjur menyediakan tempat khusus untuk tujuan itu.

PENGARAH Pendidikan Negeri Perlis, Izmi Ismail. Foto Eizairi Shamsudin

ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama lukisan mural pada dinding lorong belakang bangunan CIMB di Jalan Lencongan Dua, Kangar, yang merupakan salah satu tarikan terbaru. - Foto Eizairi Shamsudin

"Untuk montaj atau konsep awal lukisan ini, kita mendapat bantuan Persatuan Pelukis Perlis, sebelum ia diterjemah melalui mural oleh lebih 30 pelajar pendidikan seni visual sekolah menengah seluruh negara.

"Lukisan diketengahkan bertemakan 'Colours of Perlis' iaitu menggambarkan identiti negeri ini, jadi hasil lukisan dinding ini nanti bukan sahaja mampu menjadi daya penarik baharu untuk pelancong datang ke negeri ini tetapi menjadi kebanggaan peserta sebagai suatu kenangan yang tidak akan dilupakan," katanya.

Mengenai pemilihan lokasi, katanya pihaknya menekankan kepada tumpuan kawasan tarikan orang ramai dan mempunyai impak yang lebih besar bagi mendidik masyarakat dalam memelihara kebersihan serta persekitaran lorong belakang yang lebih terurus.

Info: Kangar Street Art

* Dinding bangunan di kiri dan kanan lorong belakang sepanjang kira-kira 100 meter dijadikan kanvas mural

* Lebih 80 lukisan unik bertemakan Colours Of Perlis

* 30 pelajar terbabit dalam penghasilan mural.

Berita Harian X