Selasa, 18 Oktober 2016 | 8:14pm

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR: Ringgit pulih untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini didorong oleh peningkatan harga minyak mentah, kata peniaga.

Pada 6 petang, ringgit disebut pada 4.1925/1975 berbanding dolar AS daripada 4.2150/2200 semalam.

Peniaga berkata, data minyak mentah global menunjukkan inventori meningkat kurang daripada jangkaan menjelang permintaan tinggi yang dijangka semasa musim sejuk tidak lama lagi.

Minyak mentah Brent naik 39 cent kepada AS$51.91 setong manakala minyak mentah US West Texas Intermediate meningkat 40 cent kepada AS$50.34 setong.

Unit tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali pound British.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0240/0281 daripada 3.0315/0371 pada Isnin dan meningkat berbanding yen kepada 4.0332/0388 daripada 4.0478/0530 semalam.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6201/6261 daripada 4.6314/6386, bagaimanapun susut berbanding pound British kepada 5.1517/1600 daripada 5.1297/1362 sebelum ini. - BERNAMA

Berita Harian X