Selasa, 18 Oktober 2016 | 1:28pm

Selangor paling banyak terima BR1M

MENTERI Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Selangor menjadi negeri yang penduduknya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tertinggi di negara ini bagi tahun 2016, membabitkan seramai 1,082,326 orang, kata Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, Johor menjadi negeri kedua penerima BR1M tertinggi iaitu seramai 889,636 orang dan ketiga adalah Sarawak, 735,817 penerima.

"Tahun ini, sebanyak 8,362,666 permohonan BR1M diterima, yang mana sebanyak 7,280,340 permohonan diluluskan, manakala baki 1,082,326 permohonan tidak berjaya," katanya ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) dalam sesi Tempoh Soalan Menteri (MQT) pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Nurul Izzah bertanya jumlah permohonan BR1M yang berjaya dan gagal mengikut negeri sejak tahun 2014 sehingga tahun ini.

Johari berkata, pada tahun 2015, sebanyak 7,437,52 daripada 8,259,335 permohonan BR1M diluluskan, manakala 821,813 permohonan gagal.

Daripada jumlah permohonan yang berjaya, katanya, Selangor penerima tertinggi iaitu sebanyak 1,066,359 penerima diikuti Johor (911,851) dan Sarawak (742,674).

"Bagi tahun 2014, sebanyak 8,113,472 permohonan diterima dan 6,959,549 permohonan diluluskan. Selangor tetap menjadi negeri penerima tertinggi iaitu (987,757), Johor (848,722) dan Sarawak, 699,959 orang," katanya.

Berita Harian X