Isnin, 17 Oktober 2016 | 8:29pm

Erma Fatima seronok jadi penceramah keusahawanan

PENGARAH, Erma Fatima. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pengarah, Erma Fatima, 48, tidak menyangka jemputan daripada sebuah institusi pengajian tinggi untuk memberikan motivasi dalam bidang keusahawanan sebelum ini membuatkan beliau semakin selesa bergelar sebagai penceramah.

Erma atau nama penuhnya Fatimah Rahmad berkata, hampir setiap hari beliau menerima undangan memberikan ceramah di pelbagai lokasi dan perkara itu membuatkannya gembira berkongsi ilmu terutamanya petua keusahawanan dalam mengembangkan sesebuah jenama.

"Sebelum ini, saya sering dipanggil untuk berkongsi pengalaman bekerja dalam industri seni tempatan. Bagaimanapun, sejak dua bulan lalu, saya mula aktif berceramah mengenai ilmu keusahawanan.

"Saya akan berkongsi bagaimana jenama Mak Cun berkembang, Ia bermula dengan sebuah drama, kemudian diangkat ke teater dan pada tahun depan ia muncul dalam versi animasi pula. Seterusnya jenama itu diperluaskan dengan pelbagai konsep perniagaan.

"Seronok juga berkongsi ilmu dalam bidang keusahawan. Ia sesuatu yang baharu buat saya," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Emma berkata, beliau turut berbangga dengan jenama Mak Cun yang mampu dikembangkan dalam pelbagai bidang.

Katanya, perhatian yang diraih oleh jenama terbabit turut membolehkan beliau muncul dengan produk makanan pula, tidak lama lagi.

Pada masa sama Erma baru saja membuka perusahaan pelancongan berkonsep chalet iaitu Farm Stay Mak Cun di Sik, Kedah. Di sana, pelancong akan dapat menikmati keindahan pemandangan sawah padi organik selain menjalani aktiviti berunsurkan alam semula jadi.

"Saya belum mengumumkan lagi mengenai perusahaan chalet ini, tetapi ia lebih kepada konsep 'back to nature'. Pelancong yang datang akan dapat menjalani aktiviti-aktiviti bersawah dan berkebun berkonsep organik," tuturnya.

Terbaharu, Erma akan mempersembahkan teater muzikal Mak Cun D'Walei di Istana Budaya bermula pada 4 hingga 13 November depan.

Berita Harian X