Jumaat, 28 November 2014 | 12:50pm

Anugerah Muzik K-Pop, MAMA 2014 pada 3 Disember di 8TV

KUALA LUMPUR: Berterusan menghiburkan penonton setia 8TV termasuk peminat K-Pop, saluran TV berkenaan tidak mahu ketinggalan menyajikan Anugerah Muzik K-Pop yang dinanti-nantikan ramai iaitu Mnet Asian Music Awards 2014 atau singkatannya MAMA.

Tahun ini MAMA akan diadakan di AsiaWorld-Expo, Arena di Hong Kong pada 3 Disember . Ini merupakan kali ke-3 MAMA diadakan di Hong Kong selepas mengadakan majlis yang sama pada 2012 dan 2013.

Seperti tahun sebelumnya, saluran hip 8TV tidak ketinggalan untuk menyiarkan siaran tertunda anugerah muzik terhebat ini kepada penonton. MAMA 2014 bakal menemui anda pada tarikh yang sama 2014 (Rabu) jam 9.30 malam hingga 1.30 pagi secara PERCUMA di 8TV!

Menurut Cik Airin Zainul, Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, fenomena K-Pop yang terus berkembang dan digilai peminat seluruh dunia membuatkan pihak 8TV turut teruja untuk menyiarkan anugerah berprestij ini di 8TV.

"Kami sentiasa peka dengan aliran semasa dan kehendak penonton dan kami percaya peminat K-Pop turut merasa debaran kemuncak MAMA 2014 ini. Pastikan anda berada di hadapan kaca televisyen masing-masing untuk menyaksikan bintang K-Pop kegemaran anda menghangatkan MAMA 2014," katanya.

MAMA pada asalnya bermula dari Mnet KM Music Festival (MKMF) yang dilancarkan sejak tahun 1999 dan kemudiannya menjadi sebuah festival muzik terbesar di Korea Selatan sebelum ditukar kepada Mnet Asian Music Awards (MAMA) pada 2009.

Sebagai penghargaan kepada peminat Asia terhadap muzik K-Pop dan K-Culture, MAMA buat julung-julung kalinya diadakan luar dari Korea iaitu di Macau, China pada 2010 diikuti di Singapura pada 2011.

Sebanyak 17 Kategori dipertandingkan dan pastinya semua peminat K-Pop berdebar untuk menantikan keputusan! Segmen yang paling dinanti-nantikan penonton semestinya persembahan hebat bintang popular Korea Selatan.

Bagi peminat kumpulan Big Bang, kerinduan anda pasti terubat kerana G-Dragon dan Taeyang bakal menggegarkan pentas MAMA 2014. Album ke-2 Taeyang berjudul RISE ternyata berjaya mendapat sambutan hangat apabila lagu popular beliau "Eyes, Nose, Lips" berjaya mengungguli carta- muzik!

Figura hebat ini turut bertanding dalam kategori 'Best Male Artist', 'Best Vocal Performance Male', 'Artist of The Year' dan 'Song of The Year'. G-Dragon dan Taeyang turut berkolaborasi dalam sebuah lagu baru berjudul "Good Boy" yang dilancarkan baru-baru ini.

EXO yang popular dengan lagu hit "Growl" dan "Overdose" akan turut memanaskan pentas MAMA 2014. Kumpulan Idol terkenal ini juga turut bertanding untuk kategori 'Best Male Group', 'Best Dance Performance Male Group', 'Artist of The Year' dan 'Song of The Year' menerusi lagu "Overdose".

MAMA 2014 setakat ini telah menerima lebih 35 juta undian 'online' dari peminat seluruh negara termasuk Asia, Australia, Eropah, Amerika dan Afrika. Ini merupakan kali pertama MAMA menerima undian terbanyak dalam masa yang singkat.

Malah, kadar pengundian keseluruhan telah meningkat sebanyak 250 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dengan senarai terkini artis yang bakal membuat penampilan di anugerah MAMA 2014, 8TV menjanjikan para penonton satu rancangan yang sememangnya hebat dan menghiburkan.

Antara nama-nama besar yang akan menyerikan majlis anugerah ini ialah Song Seung-Heon, Kwon Sang Woo, Choi Ji-Woo, Yun Eun-Hye, Lee Dong-Wook, Park Bo-Young, Kim Ji Hoon dan Kim Ji-Seok. Tidak ketinggalan bintang-bintang baru yang sedang hangat membina nama, Yeon Woo-Jin, Han Groo, Kyung Soo-Jin, Yoo In-Na, Kang So-Ra, Ahn Jae-Hyun dan Park Min-Woo.

Bagi peminat rancangan hiburan popular Runningman, anda pasti teruja kerana Lee Kwang-Soo dan Song Ji-Hyo turut menjadi salah seorang penyampai MAMA 2014.

Sudahkah anda bersedia untuk menyaksikan bintang-bintang K-Pop kegemaran anda? Tandakan kalendar anda, siaran tertunda MAMA 2014 bersiaran di 8TV pada 3 Disember ini jam 9.30 malam.

Anda juga berpeluang menyaksikan artis popular di acara karpet merah MAMA 2014 yang disiarkan secara langsung menerusi www.tonton.com.my pada jam 5.00 petang.

8TV juga boleh ditonton menerusi saluran 708 dan kini anda boleh menyaksikan rancangan 8TV kegemaran anda menerusi www.tonton.com.my. Ikuti perkembangan terkini 8TV di laman sosial www.facebook.com/8TVfb , www.twitter.com/8tv, www.youtube.com/8tvaddicts dan Instagram @8tv.

Berita Harian X