Rabu, 12 Oktober 2016 | 2:24pm

Mamat tak mahu sambung kisah filem Rock

Pengarah, Mamat Khalid.
Pengarah, Mamat Khalid.

KUALA LUMPUR: Pengarah, Mamat Khalid, tidak terfikir untuk menyambung siri filem Rock selepas menghasilkan tiga judul dalam kisah terbabit.

"Cukuplah dengan hanya tiga filem Rock dan selepas ini, kita fikirkan penghasilan filem zaman atau muzik era lain pula," katanya kepada BH Online.

Pada 2005, filem pertama Rock menemui penonton, diikuti Rock Ooo yang diputarkan di pawagam 2013. Judul terbaharu dalam francais berkenaan, Rock Bro akan ditayangkan mulai 27 Oktober ini.

Filem berkenaan mengangkat kisah perjuangan penyanyi dan kumpulan rock pada era 80-an dan 90an.

"Bagi mereka yang tidak menonton dua filem terdahulu, bukan masalah besar untuk masing-masing menyelami Rock Bro. Filem ini boleh berdiri dengan sendirinya.

"Dalam filem ini juga ada ramai 'otai' rock akan tampil sebagai bintang undangan termasuk Datuk Ramli Sarip, Mus May, Datuk Hattan, Man Kidal dan Black Wings," kata pengarah Hantu Kak Limah Balik Rumah itu.

Dalam pada itu, Mamat memberitahu, sebelum Rock Bro menemui peminat di pawagam, malam galanya akan diadakan pada 19 Oktober ini di ibu kota.

Filem terbitan bersama Grand Brilliance dan Enjit Semut Sdn Bhd itu menampilkan lakonan Khir Rahman, Pekin Ibrahim, Sofi Jikan, Azmi Black, Kamarool Yusoff, Shawarni, Amy Juliet dan Juliana Iskandar.

Berita Harian X