Selasa, 11 Oktober 2016 | 3:12pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) dan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain (kanan) menunjukkan ikan yang ditangkap pada program menangkap ikan di zon larangan perikanan dan pelepasan benih ikan bersama komuniti di Sungai Kuala Serau, Kuala Lipis, hari ini. - Foto Mohd Rafi Mamat

9 guna arus elektrik, tuba tangkap ikan didenda

KUANTAN: Jabatan Perikanan sudah mengambil tindakan terhadap sembilan individu yang menangkap ikan menggunakan tuba dan arus elektrik di beberapa sungai utama di negeri ini bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain, berkata ada enam kes kesalahan itu di kawasan pedalaman Jerantut, Maran, Pekan dan Bera yang terkenal dengan pelbagai jenis ikan sungai berkualiti tinggi.

Beliau berkata, dalam tempoh berkenaan, pihaknya mengesan empat kesalahan menangkap ikan menggunakan arus elektrik di Sungai Liang, Jerantut; Empangan Besar, Kampung Paya Ladang di Maran serta di Sungai Pahang, masing-masing di Pekan dan Maran.

Ketika dihubungi BH hari ini, Adnan berkata, dua kes lagi menggunakan tuba atau elektrik di Sungai Bohor Bahru, Bera dan Sungai Gitar, Jerantut.

"Mereka didakwa di mahkamah mengikut Peraturan Perikanan Sungai 1991 Negeri Pahang dan nilai keseluruhan kompaun dikenakan sebanyak RM6,500 sementara peralatan digunakan untuk menangkap ikan dirampas.

"Penggunaan tuba dan arus elektrik menyebabkan ikan pelbagai saiz dan jenis mati. Jika dilakukan secara berterusan akan menyebabkan kepupusan hidupan air. Kami memandang serius aktiviti menangkap ikan menggunakan tuba dan arus elektrik dan operasi akan terus dilakukan secara berjadual," katanya.

Beliau juga meminta kerjasama masyarakat terutama penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai supaya segera melaporkan kepada jabatan itu jika mengesan kegiatan sedemikian supaya sama-sama dapat memelihara kehidupan marin di sungai di negeri ini.

Berita Harian X