Selasa, 11 Oktober 2016 | 12:42am

Presiden Sudan lanjut gencatan senjata di 3 wilayah


OMAR al-Bashir . - Foto AFP

KHARTOUM: Presiden Sudan Omar al-Bashir semalam melanjutkan gencatan senjata sebelah pihak kepada dua bulan lagi di tiga wilayah di mana pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak sudah mengorbankan puluhan ribu nyawa.

Jun lalu, Bashir mengisytiharkan gencatan senjata sebelah pihak selama empat bulan di wilayah Darfur, Nil Biru dan Kordofan Selatan.

Semalam, beliau berkata, pihaknya memutuskan melanjutkan gencatan itu "sehingga akhir tahun ini" tanpa memberi tarikh khusus.

Pertempuran di Nil Biru dan Kordofan Selatan semakin berkurangan sejak Jun lalu sebahagian besarnya disebabkan musim hujan yang membanjiri jalan raya di dua negeri, menghalang operasi ketenteraan.

Bagaimanapun, pertempuran hebat terus menggegarkan kawasan pergunungan Jebel Marra di Darfur.

Minggu lalu, kumpulan hak asasi Amnesty Internetional berkata, tentera Sudan menggunakan senjata kimia disyaki di sana antara Januari dan September, serangan yang membunuh sejumlah besar kanak-kanak dan orang awam.

Konflik di Darfur, rantau bersaiz sebesar Perancis, meletus pada 2003 apabila pemberontak etnik minoriti mengangkat senjata menentang kerajaan Arab dikuasai Bashir, menuduhnya meminggirkan rantau itu.

Konflik sama turut meletus di Nil Biru dan Kordofan Selatan sejak negara jiran Sudan Selatan berpecah pada 2011. -AFP

Berita Harian X