Sabtu, 8 Oktober 2016 | 5:02pm

Kanak-kanak sumbing mulut selamat jalani pembedahan

MUHAMAD Ziqry Aiman menderita penyakit sumbing dan saraf sejak lahir. - Foto Zaman Huri Isa
MUHAMAD Ziqry Aiman menderita penyakit sumbing dan saraf sejak lahir. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang bibirnya sumbing, selamat menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas bantuan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Muhamad Ziqry Aiman Edey Sherry menjalani pembedahan itu pada 30 Oktober lalu dengan kos RM50,000 atas sumbangan POKB sempena Program Ziarah Kasih mereka.

Ketua Pasukan POKB, Datuk Dr Mohd Zain Yusof, berkata pembedahan yang dibuat di PPUM itu 99 peratus berjaya dan mengharap keadaan itu memberi harapan baharu buat Muhamad Ziqry.

"Alhamdulillah, pembedahan ini berjaya seperti dirancang dan keadaan Muhamad Ziqry juga stabil. Kanak-kanak itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan selepas ini dia akan menjalani beberapa rawatan susulan serta menjalani pembedahan lelangit pada April 2017.

"Setakat ini, Muhamad Ziqry adalah anak angkat POKB pertama yang mengalami masalah sumbing bibir. Kami akan sentiasa memantau keperluannya seperti kos rawatan, susu, lampin dan keperluan harian lain," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), dekat sini, hari ini.

Pembedahan terbabit diketuai Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya (UM) dan Konsultan Bedah Mulut dan Rahang, Datuk Dr Zainal Arif Abd Rahman di PPUM.

Ibunya, Leeyana Hamu,19, meluahkan rasa gembira dengan perubahan anaknya itu dan berharap pembedahan terbabit sebagai permulaan baik untuk meneruskan rawatan supaya Muhamad Ziqry dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

Berita Harian X