Sabtu, 8 Oktober 2016 | 12:10am
ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas sotong dari nelayan warga asing yang kendalikan kapal kargo. - Foto Luqman Hakim Zubir

Rakyat tempatan bersekongkol curi hasil laut negara


PEKAN: Tindakan segelintir rakyat tempatan yang bersekongkol dengan rakyat asing termasuk pemilik kapal kargo untuk menangkap ikan di perairan negara untuk mencari keuntungan atas angin menyebabkan kegiatan itu menjadi-jadi.

Difahamkan, ada pemegang lesen nelayan kelas C2 itu menyewakannya dengan harga RM16,000 sebulan tanpa perlu turun ke laut.

Nelayan asing yang menyewa pula menangkap ikan dengan berselindung sebagai pekerja kerana pemegang lesen C2 boleh menggaji awak-awak asing.

Bot tempatan yang dikendalikan warga asing itu pula bersekongkol pula dengan pemilik kapal kargo asing terutama dari Vietnam untuk menarik pukat tunda di perairan negara ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pekan, Jali Ismail, mereka menggunakan kaedah tunda ganding iaitu dua kapal menarik satu pukat.

Katanya, kaedah itu yang sering digunakan nelayan Vietnam mampu menangkap banyak ikan kerana bukaan pukatnya lebih luas iaitu antara 200 hingga 400 meter selain merosakkan peralatan menangkap ikan milik nelayan tempatan.

PENGERUSI Nelayan Kawasan (PNK) Pekan, Jali Ismail menunjukkan grafik modus operandi mengenai pencerobohan nelayan asing dan kapal kargo yang menggunakan kaedah tunda ganding.

GAMBAR bot nelayan tempatan yang didakwa disewakan kepada warga asing yang dirakam nelayan dan diserahkan kepada APMM.

"Mereka mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan sebuah bot berlesen (kelas C2) dan apabila kegiatan dikesan, mereka segera memotong pukat pada kapal kargo untuk menunjukkan ia tidak menjalankan sebarang aktiviti perikanan.

"Jadi tindakan tidak dapat diambil terhadap mereka kerana tiada bukti kukuh," katanya kepada BH.

Akhbar ini semalam melaporkan mengenai operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang tidak berbaloi apabila kapal kargo asing terbabit yang ditahan hanya dikenakan kompaun RM2,000 sedangkan kos minyak sahaja bagi sebuah bot agensi dalam operasi juga RM2,000 tidak termasuk kos makan dan siasatan.

Jali berkata operasi nelayan dan kapal kargo warga asing itu menyebabkan sumber di perairan negara seperti ikan dan sotong semakin berkurangan sekali gus memberi kesan kepada pendapatan nelayan tempatan.

"Dahulu hendak bawa naik satu tan mudah sahaja sekarang ini susah, banyak spesies ikan berkualiti tinggi seperti ibu kerisi dan ikan merah sudah hampir pupus, yang ada sekarang hanya ikan kerapu biasa," katanya.

Selain itu, Jali berkata, kegiatan nelayan asing yang menceroboh sehingga 12 batu nautika juga mengakibatkan kerugian di kalangan nelayan tempatan iaitu menanggung kos menggantikan dan membaiki bubu atau pukat jerut rosak.

"Ia bukannya murah iaitu kira-kira RM200 bagi sebuah bubu, malah kegiatan mereka turut menyebabkan terumbu karang serta tukun tiruan yang menjadi habitat ikan musnah.

Katanya, PNK juga mencadangkan supaya lesen kelas C2 itu dihapuskan kerana matlamat pengeluarannya didakwa tidak sampai untuk meningkatkan ikan negara sebaliknya ikan ditangkap dihantar ke negara lain.

"Dulu perairan Pahang ada sebuah kawasan dipanggil karang luas kerana ia mempunyai terumbu karang banyak terletak 15 batu nautika dari Kuala Nenasi, Pekan, sekarang sudah musnah menyebabkan sumber ikan turut berkurangan," katanya.

ANTARA gambar diserahkan oleh nelayan kepada pihak berkuasa mendakwa bot nelayan tempatan yang disewakan kepada warga asing beroperasi di perairan negara.

LKIM sokong Akta Perikanan 1985 dipinda

Sementara itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyokong Akta Perikanan 1985 dipinda bagi mengatasi kelemahan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi berkaitan bagi melindungi industri perikanan negara.

Pengerusinya, Datuk Dr Irmohizam Ibrahim, berkata antara perkara yang perlu ditambah baik adalah berkaitan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada nelayan asing termasuk memusnahkan kapal atau bot mereka yang disabit kesalahan.

Kata beliau, kapal dan bot yang dirampas perlu dijadikan tukun supaya menjadi pengajaran sekali gus menunjukkan ketegasan pihak kerajaan memelihara sumber laut negara.

"Saya tetap berharap isu pencerobohan nelayan asing di negara kita dapat diatasi dengan segera agar tidak menggugat keselamatan negara dan nelayan tempatan," katanya kepada BH.

Irmohizam mengakui pencerobohan nelayan asing di kawasan Pantai Timur amat membimbangkan terutama sekali nelayan dari Vietnam.

"Nelayan tempatan sering diganggu oleh nelayan asing ketika mereka menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Mereka (nelayan tempatan) mengadu sering terserempak dengan nelayan asing di laut dan ada kalanya nelayan asing bertindak ganas merosakkan pukat dan peralatan menangkap ikan nelayan tempatan. Nelayan asing terutama dari Vietnam ini amat ganas dan berani sehinggakan mereka membakar vessel nelayan kita.

Sementara itu, sumber Jabatan Perikanan mengakui pihak mereka tidak dapat mengambil tindakan terhadap pencerobohan vesel kargo asing dari Vietnam di perairan negara.

Ini disebabkan, perkara itu adalah berkaitan dengan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan bukan di bawah bidang kuasa Akta Perikanan 1985.

Bagaimanapun, katanya sekiranya tangkapan membabitkan kedua-dua vesel kargo asing dan vesel nelayan tempatan berkaitan penangkapan ikan, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 15(2) dan Seksyen 20 Akta Perikanan 1985.

"Tekong kapal perikanan asing yang menceroboh perikanan negara boleh dikenakan hukuman maksima sehingga RM1 juta mengikut Seksyen 15(2) dan Seksyen 20, Akta Perikanan 1985 dan juga tambahan tindakan pembatalan lesen bagi vesel nelayan tempatan.

"Tangkapan APMM pula bukan di bawah bidang kuasa Akta Perikanan 1985 kerana membabitkan vesel kargo asing dari Vietnam dan agensi itu sepatutnya merujuk kepada yang berada di bawah Jabatan Laut berhubung tangkapan  itu," katanya. 

 

Berita Harian X