Khamis, 6 Oktober 2016 | 1:54pm

Undang-Undang Liabiliti Korporat ke Parlimen bulan ini

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low beramah mesra dengan orang ramai pada majlis perasmian Persidangan Ikrar Integriti Korporat (CIP 2016) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low beramah mesra dengan orang ramai pada majlis perasmian Persidangan Ikrar Integriti Korporat (CIP 2016) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 bagi memasukkan undang-undang berkaitan liabiliti korporat yang mewajibkan syarikat bertanggungjawab jika kakitangannya terbabit rasuah dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low, berkata selepas diluluskan syarikat akan diberi tempoh setahun untuk menyelaraskan prosedur syarikat mereka berkaitan langkah pencegahan rasuah.

"Walaupun kita boleh membawa undang-undang ini ke Parlimen pada Oktober ini, kita dijangka hanya dapat melaksanakannya pada Januari 2018.

"Berdasarkan petunjuk kita, syarikat akan menerima undang-undang ini kerana memerlukan ia mereka lebih bertanggungjawab terhadap kakitangan yang melakukan rasuah dan membantu mereka membina kemampuan mematuhi akta berkaitan di negara lain," katanya kepada selepas merasmikan Persidangan Ikrar Integriti Korporat (CIP 2016) anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata di bawah undang-undang liabiliti korporat itu, syarikat perlu bertanggungjawab jika individu berkaitan syarikat memberi rasuah bagi mendapatkan projek perniagaan atau kelebihan bagi pihak syarikat.

"Bagaimanapun, organisasi komersial akan mempunyai sistem pertahanan penuh jika boleh menunjukkan ia mempunyai prosedur mencukupi bagi mengelakkan individu berkaitan syarikat terbabit rasuah," katanya.

Ucapan Dzulkifli dibacakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil.

Berita Harian X