Khamis, 6 Oktober 2016 | 8:31am
SEKUMPULAN penduduk cuba menyeberangi sungai yang deras apabila jambatan yang menghubunginya runtuh akibat Taufan Matthew di Haiti. - Foto EPA

Taufan Matthew beralih ke Bahamas


PEGAWAI di Pusat Taufan Kebangsaan Meteorologi Maria Torres menunjukkan ramalan laluan Taufan Matthew di Pusat Taufan Kebangsaan di Miami, Florida. - Foto EPA

LES CAYES: Taufan Matthew menuju ke Bahamas dan pantai timur Florida selepas meragut sekurang-kurangnya 26 nyawa dan merosakkan majoriti rumah di selatan Haiti, memaksa negara itu menangguhkan pilihan raya presiden.

Taufan Kategori Tiga itu, paling kuat melanda Caribbean dalam masa hampir sedekad, membadai Cuba dan Haiti dengan angin sekencang 230 kilometer sejam dan hujan lebat pada Selasa, membadai bandar dan memusnahkan ternakan, tanaman dan rumah.

Di Amerika Syarikat, jutaan penduduk digesa berpindah dari pantai tenggara negara itu dan Gabenor Florida, Rick Scott, memberi amaran kepada penduduk supaya bersiap sedia berhadapan kedatangan ribut berkenaan yang boleh menjadi malapetaka.

Ratusan ribu penduduk berpindah daripada laluan Matthew, yang menyebabkan banjir teruk dan membunuh empat orang di Republik Dominican dan sekurang-kurangnya 22 di Haiti.

Ribut itu membuka jalan kemusnahan seluruh barat daya Haiti, membiarkan bot dan sampah sarat di atas jalan yang dilanda ombak besar dan menyebabkan kawasan penempatan banjir teruk.

Kira-kira 80 peratus rumah rosak di daerah Sud di Haiti, yang mempunyai lebih 700,000 penduduk, kata pegawai kerajaan, dalam pertemuan dengan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kira-kira 11,000 berada di pusat perlindungan di wilayah itu.

Kekuatan Matthew dikurangkan daripada Kategori Empat dalam skala kepadatan ribut Saffir-Simpson, kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat (NHC).

Ia membawa angin selaju 195 kilometer sejam pada tengah hari Rabu tetapi NHC berkata, ia boleh menjadi kuat semula ketika mendekati Florida. - REUTERS

Berita Harian X