Selasa, 4 Oktober 2016 | 8:40pm

MUIP serah RM100,000 kepada MAKNA


WAN Abdul Wahid (empat dari kanan) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Farahida di Kuantan, hari ini. - Foto Nurul Nadira Shaari

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyerahkan sumbangan  RM100,000 kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) di Pejabat Saham Wakaf Pahang, Bangunan MUIP di sini, hari ini.

Timbalah Yang Dipertuanya, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata sumbangan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban pesakit kanser termasuk di negeri ini.

"Ini adalah sebahagian sumbangan pada tahun ini  kepada pesakit kanser selain turut memberi bantuan melalui program ziarah prihatin di hospital dan sumbangan kepada Institut Jantung Negara (IJN).

"Pihak MUIP juga sudah membelanjakan lebih RM4.5 juta sepanjang empat tahun lalu bagi membantu keperluan pesakit yang tidak berkemampuan di negara ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek kepada MAKNA di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Besar MAKNA, Farahida Mohd Farid, berkata pihaknya mula bekerjasama dengan majlis agama di seluruh negeri sejak dua tahun lalu bagi mendapatkan bantuan perbelanjaan rawatan untuk pesakit kanser yang tidak berkemampuan.

Katanya, Pahang adalah antara lapan negeri melalui majlis agamanya yang menyumbangkan dana bagi membantu meringankan beban pesakit kanser di negara ini.

"Semua sumbangan yang diperoleh akan digunakan secara menyeluruh untuk perbelanjaan bagi kes pesakit kanser yang dirujuk kepada MAKNA di negara ini," katanya.

Berita Harian X