Selasa, 4 Oktober 2016 | 5:21pm

Taufan Matthew ragut mangsa pertama


PEMANDANGAN sebahagian besar kemusnahan pantai di Santo Domingo, berhampiran Port of Haina yang di landa Taufan Matthew . - Foto AFP

PORT-AU-PRINCE: Seorang maut manakala seorang lagi hilang apabila Taufan Matthew membadai Caribbean, ribut paling ganas melanda kepulauan itu dalam masa hampir sedekad.

Angin kencang bertiup di pantai selatan negara paling miskin di benua Amerika itu, yang menyaksikan rumah dan bangunan tidak kukuh menyebabkan penduduk terdedah kepada bencana alam.

Banjir juga dilaporkan di beberapa kawasan di Jamaica ketika ribut Kategori Empat itu semakin menghampiri, menurut laporan berita.

Cuba mengarahkan pemindahan lebih 250,000 penduduk dari timur pulau itu.

"Tiada siapa suka meninggalkan rumah mereka, tetapi paras laut akan meningkat dan ia amat bahaya," kata pesara chef, Pedro Gonzalez, yang perlu meninggalkan kediamannya di kepulauan kecil di luar Santiago, satu daripada enam kawasan yang berada dalam amaran taufan.

Saudara perempuannya, Ana, turut berpindah bersama-sama beliau dan ibu mereka, Marina, 100, yang menggunakan kerusi roda.

"Saya tidak akan kekal di kawasan rendah walaupun diberikan semua wang dalam dunia," kata Ana, yang masih mengingatkan keadaan ngeri dilanda Taufan Sandy pada 2012, yang mengorbankan 11 rakyat Cuba.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak memaksa penduduk berpindah dan ramai memilih untuk tidak meninggalkan rumah mereka untuk mengelakkan kecurian.

Matthew dijangka melanda barat daya Haiti pada Isnin, membawa angin kuat dan hujan lebat, kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Cuba dan Bahamas juga terletak dalam laluan ribut pemusnah itu. - AFP

Berita Harian X