Isnin, 3 Oktober 2016 | 8:19pm

Zulfahmi raih 6 mata di Perancis

Zulfahmi Khairuddin. - Foto fail NSTP/Osman Adnan
Zulfahmi Khairuddin. - Foto fail NSTP/Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Zulfahmi Khairuddin menamatkan badi kutipan matanya di pusingan 10 Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) di Perancis apabila berjaya menemui penamat di tangga ke-10 dalam kelas SuperSport, semalam.

Kali terakhir pelumba Orelac Racing VerdNatura itu meraih mata adalah di halaman sendiri pada 15 Mei lalu dengan berjaya menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang di tangga kedua.

"Ia seperti kami sudah terlalu lama tidak mengumpul sebarang mata, jadi ia adalah sesuatu yang bagus buat kami apabila kembali mengutip mata dan menamatkan perlumbaan di kelompok 10 terbaik semula.

"Motosikal mempunyai sedikit masalah pada sesi pagi, jadi mekanik melakukan beberapa perubahan dan ia bertambah baik ketika perlumbaan.

"Pilihan tayar mungkin tidak terlalu sempurna tetapi pelarasan motosikal baik dan saya sangat gembira dengan prestasi ini.

"Sebelum perlumbaan, sasaran kami adalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dan kami berjaya mencapainya, terima kasih kepada semua usaha gigih yang dilakukan pasukan," kata bekas pelumba Moto3 negara itu.

Penamat ke-10 yang diraih Zulfahmi membenarkan dirinya meraih enam mata berharga bagi menambah kutipan mata keseluruhannya kini kepada 46 mata.

Zulfahmi kini berada di tangga ke-10 keseluruhan tatkala perlumbaan musim 2016 berbaki dua pusingan saja lagi iaitu di Jerez, dua minggu lalu dan Qatar pada penghujung bulan ini.

Berita Harian X