Isnin, 3 Oktober 2016 | 8:41am

Matthew taufan paling kuat di Caribbean dalam 9 tahun

PEKERJA mengumpul lampu isyarat dari jalan sebagai persediaan menghadapi kedatangan Taufan Matthew di Santiago de Cuba, Cuba. - Foto REUTERS

KINGSTON: Haiti dan Jamaica menggesa penduduk di kawasan pesisiran pantai supaya berpindah, dan Cuba menggantung penerbangan pada Ahad ketika hujan lebat yang dibawa Taufan Matthew, ribut paling kuat mula membadai negara di Caribbean sejak 2007, mula menenggelamkan ibu negara Jamaica itu.

Matthew yang bergerak perlahan dijangka berpusat berhampiran barat daya Haiti dan Jamaica pada Isnin apabila ribut itu membawa bersama angin sekuat 230 kilometer sejam dan hujan yang mengancam nyawa, kata Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Wilayah di timur Cuba juga menerima tempias angin kencang dan hujan lebat pada Isnin.

"Kami amat bimbangkan dengan keadaan ini. Kami mahu semua penduduk tahu perkara ini benar-benar berlaku," kata Menteri Dalam Negeri Haiti, Francois Anick Joseph di pusat operasi di Port-au-Prince.

Katanya, 1,300 pusat perlindungan diwujudkan dengan kapasiti menampung 340,000 mangsa.

Seorang penduduk dihanyutkan ombak besar pada Sabtu walaupun kerajaan memberi amaran supaya menjauhi laut, kata Anick Joseph.

Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan amaran merah bagi tanah runtuh, ombak besar dan banjir. Hujan sehingga 101 sentimeter dijangka turun di beberapa bahagian di selatan Haiti.

Di Kingston, Jamaica, jalan raya utama dan lebuh raya dinaiki air ketika tahap pertama Matthew melanda kepulauan itu.

Matthew berada kira-kira 435 kilometer ke tenggara Kingston pada tengah hari Ahad dan bergerak ke barat laut pada kelajuan tujuh kilometer sejam dengan jangkaan ia beralih ke utara pada tengah malam.

Ia disenaraikan sebagai taufan Kategori Empat daripada skala lima, ukuran taufan Saffir-Simpson. - Reuters

Berita Harian X