Ahad, 2 Oktober 2016 | 2:26pm

Pendaki Singapura ditemui pengsan dalam gaung

PASUKAN MOSAR mengeluarkan mangsa dari gaung dekat Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu sebelum dibawa turun ke Pondok Timpohon. - Foto ihsan bomba
PASUKAN MOSAR mengeluarkan mangsa dari gaung dekat Sayat-Sayat, Gunung Kinabalu sebelum dibawa turun ke Pondok Timpohon. - Foto ihsan bomba

RANAU: Seorang lelaki warga Singapura yang menjalani latihan mendaki sempena Climbathon Gunung Kinabalu ditemui tidak sedarkan diri dalam gaung sedalam kira-kira 150 meter selepas dilaporkan hilang di Gunung Kinabalu, tengah malam tadi.

Mangsa, Wong Tai Kiang, ditemui jam 7.30 pagi tadi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Taman-Taman Sabah berhampiran Sayat-Sayat, di kawasan puncak gunung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Jimmy Lagun, berkata mangsa yang mendaki petang semalam dilaporkan tidak kembali ke lokasi permulaan pendakian di Pondok Timpohon selain gagal dihubungi kakitangan Taman-Taman Sabah sehingga jam 12 tengah malam tadi.

Berikutan itu, katanya, sepasukan anggota mencari dan menyelamat gunung (MOSAR) bersama pasukan SAR Taman-Taman Sabah membuat pemeriksaan di sekitar Laban Rata dan beberapa lokasi penginapan di Gunung Kinabalu, namun gagal ditemui.

"Disebabkan keadaan cuaca kurang baik kerana berkabus tebal, operasi terpaksa ditangguhkan sebelum disambung semula jam 6 pagi tadi dengan disertai Pasukan Bomba Sukarela (PBB) MOSAR dan beberapa renjer Taman-Taman Sabah.

"Pencarian dilakukan dari kawasan Laban Rata ke puncak gunung, manakala sebahagian anggota lagi melakukan pencarian dari Laban Rata ke Pondok Timpohon.

"Pada jam 7.30 pagi, anggota MOSAR menemui mangsa dalam gaung kira-kira 150 meter dari laluan pendakian di lokasi berhampiran Sayat-Sayat dan dia didapati tidak sedarkan diri," katanya.

Beliau berkata, ketika ini operasi membawa turun masih dilakukan dan dijangka tiba di Pondok Timpohon, di kaki gunung, petang ini.

Berita Harian X