Ahad, 2 Oktober 2016 | 11:28am

Dua sahabat maut dirempuh


KEMALANGAN membabitkan dua motosikal dan dua kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Dua sahabat maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan dua kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, dua mangsa yang maut, menaiki motosikal sama, dan seorang lagi penunggang motosikal dikatakan dari arah pusat bandar menghala ke Bayan Lepas, sebelum dirempuh sebuah kenderaan dipandu lelaki berusia lingkungan 20-an.

Difahamkan, rempuhan itu berlaku selepas pemandu kenderaan terbabit gagal mengelak beberapa jentera penyelenggaraan jalan yang diletakkan di lorong kiri jalan, sebelum hilang kawalan dan merempuh mangsa.

Akibat daripada rempuhan berkenaan, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal sama itu tercampak kira-kira 10 meter, manakala seorang lagi mangsa cedera parah selepas dilanggar oleh kenderaan lain juga dari arah sama.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Faris Mohd Nasir, 19, dan Yusman Arif Jamaludin, 20 tahun.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat, sementara seorang mangsa yang cedera parah diberikan rawatan lanjut.

Berita Harian X