Sabtu, 1 Oktober 2016 | 9:00am

Pertempuran Spurs, City di White Hart Lane

SELEPAS enam aksi, Manchester City selesa menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan himpunan 18 mata. Minggu lalu pasukan bimbingan Pep Guardiola ini menewaskan Swansea City, 3-1, bagi kemenangan keenam berturut-turut.

Mengikuti rapat di kedudukan kedua adalah Tottenham Hotspur dengan 14 mata, yang turut mencatat kemenangan mengatasi Middlesbrough, 2-1 manakala ketiga dihuni Arsenal (13 mata) hasil kemenangan 3-0 ke atas Chelsea di laman sendiri.

Liverpool yang membelasah Hull City, 5-1 dan Everton, biarpun tewas 1-0 di tangan Bournemouth, turut mempunyai 13 mata, dengan masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima.

Manchester United pula di tempat keenam hasil kejayaan membenam penyandang juara, Leicester City, 4-1, dengan mengumpul 12 mata manakala Chelsea pula berada di tempat kelapan dengan 10 mata. Leicester pula menghuni tangga ke-12.

Bagaimanapun pula minggu ini? Perlawanan mana yang menjadi tumpuan? Sudah tentu, aksi membabitkan City dan Spurs di White Hart Lane. Aksi ini dijadual berlangsung pada hari Ahad, bermula jam 9.15 malam waktu Malaysia.

Kita percaya baik Guardiola atau Mauricio Pochettino sudah pasti ada strategi masing-masing untuk memenangi aksi ini. Jika melihat statistik lalu menunjukkan kedua-dua pasukan ini sudah berentap sebanyak 38 kali dengan Spurs memenanginya sebanyak 22 kali, berbanding 11 oleh City selain lima kali seri.

Spurs berjaya mengatasi City sebanyak 12 kali ketika menjadi tuan rumah, manakala City pula tujuh kali. Dalam tiga pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di White Hart Lane menyaksikan City menang sebanyak dua kali.

Kemenangan terakhir 1-0 dicatatkan pada 3 Mei 2015 dan kedua pada 29 Januari 2014 (5-1), manakala Spurs pula menang 4-1 pada saingan 26 September 2015. Melihat kepada statistik dan prestasi semasa, saya meramalkan keputusan memihak kepada City, 2-1.

Sementara itu bagi aksi lain, Chelsea yang bertandang ke laman Hull City harus tiada pilihan kecuali memenangi perlawanan itu selepas dimalukan oleh Arsenal minggu lalu. Pengendalinya, Antonio Conte perlu merumuskan strategi terbaik bagi kebangkitan The Blues andai enggan kecewa lagi.

Arsenal yang melakukan kebangkitan berterusan juga harus tiada masalah untuk mengutip mata penuh apabila berkunjung ke gelanggang Burnley FC selepas melakukan kejutan ke atas Chelsea.

Begitu juga Liverpool, yang terus berselera untuk mencatatkan kemenangan besar apabila bertamu ke Swansea City bagi bertemu tuan rumah. Anak buah Jurgen Klopp ini juga harus mudah mencatatkan kemenangan kelima tanpa masalah.

Pasukan bimbingan Jose Mourinho turut berpeluang meneruskan kebangkitan apabila menyambut kunjungan Stoke City bagi terus memulihkan moral dan semangat pemainnya hasil kejayaan membenam Hull Citu minggu lalu. Selamat menonton.

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Ramalan Minggu ke-7:

Everton 2 Crystal Palace 1

Swansea City 1 Liverpool 3

West Ham 2 Middlesbrough 2

Hull City 1 Chelsea 3

Sunderland 1 West Brom 1

Watford 2 Bournemouth 2

Man United 3 Stoke City 1

Leicester City 1 Southampton 2

Tottenham 1 Man City 2

Burnley FC 1 Arsenal 4

Berita Harian X