Jumaat, 30 September 2016 | 5:27pm

Hattan, anak berduet dalam single baharu

DATUK Hattan pada majlis tayangan tertutup filem Rock Bro, baru-baru ini. - Foto Zunnur Al Shafiq
DATUK Hattan pada majlis tayangan tertutup filem Rock Bro, baru-baru ini. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Datuk Hattan, 51, berduet dengan anak lelakinya, Adam, 18, menerusi single terbaharu berentak reggae karya komposer terkemuka, Datuk M Nasir.

Menurut penyanyi berkenaan, lagu terbabit bakal menemui peminat dalam masa terdekat apabila masing-masing sudah pun selesai menjalani rakamannya di sebuah studio di sekitar ibu kota.

"Kami berbangga apabila dapat bekerjasama dengan M Nasir untuk single baharu ini dan kami juga amat berpuas hati dengan hasilnya," kata Hattan kepada BH Online.

Hattan sendiri cukup teruja apabila dapat berkolaborasi dengan anak remajanya, malah tidak menghalang andai Adam ingin memilih bidang sama sebagai kerjaya.

"Saya tidak menghalang andai Adam ingin menjadi penyanyi, namun dia harus memastikan pelajarannya tidak terabai. Dia perlu mengutamakan asas utama, iaitu menuntut ilmu, setelah itu terpulanglah kepadanya untuk mengatur langkah seterusnya. Sebagai bapa, saya memberikan kebebasan untuk dia membuat pilihan.

"Buat masa ini, Adam masih menuntut di kolej swasta pada peringkat pengajian asasi dan hanya menjadikan bidang nyanyian sebagai hobi," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan tertutup filem Rock Bro, baru-baru ini.

Mengulas pembabitannya dalam Rock Bro, Hattan meluahkan rasa terharu kerana sahabat baiknya, Mamat Khalid, yang juga pengarah filem terbabit bersungguh-sungguh ingin menampilkan dirinya dalam karya berkenaan.

"Hampir sebulan juga Mamat menunggu saya untuk menjayakan filem ini. Saya ke Ipoh, Perak, untuk menjalani penggambaran dan menghabiskan semua adegan dalam beberapa jam saja.

"Saya berpuas hati dengan Rock Bro yang juga episod terakhir dalam siri filem Rock arahan beliau. Sebak apabila terkenang saat lalu dan bagaimana kisah hidup penyanyi rock seakan-akan diadaptasi dan dipaparkan menjadi sebuah karya," kata Hattan.

Filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 Oktober ini.

Berita Harian X