Jumaat, 30 September 2016 | 5:13pm

UiTM iktiraf pengalaman kerja sebagai syarat kemasukan


NAIB Canselor UITM, Professor Emeritus Datuk Dr Hassan Said (tengah), menunjukkan Sjil Kelayakan Malaysia (MOA) telah diluluskan untuk melaksanakan pengakreditan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu (Accreditation of Prior Expreriential Learning APEL) bagi tujuan penganugerahan kredit pada sidang media di UiTM, Shah Alam. Turut bersama Pengarah (iNED), Professor Madya Dr Roslani Embi (kanan), Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Professor Suhaimi Abdul Talib (kiri). - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi universiti awam pertama di negara ini yang mengiktiraf pengalaman pekerja pemohon untuk melanjutkan pelajaran di semua peringkat pendidikan tinggi.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata menerusi program Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) itu, pengalaman bekerja akan dijadikan sebagai kredit kelayakan, sekali gus membudayakan pendidikan sepanjang hayat dalam kalangan masyarakat.

"Peluang melanjutkan pengajian di peringkat tinggi kini terbuka kepada semua orang. APEL membolehkan mereka yang mempunyai pendidikan formal atau tidak, melanjutkan pengajian di semua peringkat sama ada diploma, ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah, mahu pun pasca siswazah.

"Sebagai contoh, pemohon yang memiliki ijazah sarjana muda boleh terus melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah, tetapi dengan syarat pemohon ada pengalaman kerja yang bagus serta berjaya memperoleh sijil APEL.

"APEL akan menguji kebolehan, portfolio pendidikan formal dan tidak formal, termasuk sesi wawancara untuk mengukur tahap kompetensi serta kesediaan pemohon meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hassan berkata, semua fakulti terbabit dalam program APEL, kecuali fakulti perubatan, kejuruteraan dan undang-undang, yang mana terdapat syarat ketat lain yang perlu dipatuhi.

"Calon yang berminat untuk mendapatkan sijil APEL boleh mengunjungi Pusat APEL di Institut Pendidikan Neo (iNED) di semua kampus UiTM. iNED berfungsi untuk menyediakan pendekatan pendidikan inovatif, selain ke arah menghasilkan modal manusia untuk menyediakan pekerja dengan kemahiran baharu serta pengetahuan terkini," katanya.

Berita Harian X