Khamis, 29 September 2016 | 12:36am

Rafiq rangkul Masters Asia

PEMAIN boling lelaki negara, Muhammad Rafiq Ismail beraksi Kejohanan Tenpin Boling Antarabangsa Terbuka Malaysia 2016 di Sunway Pyramid. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Muhammad Rafiq Ismail berada dalam kelas tersendiri apabila muncul juara dalam acara Masters lelaki pada Kejohanan Boling Asia ke-24 di Pusat Boling SCAA di Hong Kong, hari ini.

Pada saingan final step-ladder, pemain negara berusia 19 tahun itu mengalahkan wakil Hong Kong, Michael Mak, menerusi 197 jatuhan pin berbalas 159 pada frame pertama serta 214-203 pada frame akhir.

Sebelum itu, pada saingan separuh akhir step-ladder, Muhammad Rafiq menyingkirkan pemain Jepun, Shogo Wada, dengan 203 jatuhan pin berbalas 198.

Menghuni tangga ke-10 dengan mengumpul 1,727 jatuhan pin slepas blok pertama semalam, Muhammed Rafiq bangkit semula pada blok kedua hari ini dengan menampilkan balingan cemerlang untuk melonjak ke tempat kedua dengan jumlah 3,681 jatuhan pin.

Pendahulu blok pertama, Shogo, jatuh ke tempat ketiga dengan jumlah kutipan 3,655 jatuhan pin, manakala Mak memperagakan balingan konsisten untuk mendahului dengan jumlah 3,691 jatuhan pin.

Dalam acara itu, dua wakil negara, Syafig Ridhwan menamatkan saingan di tempat keenam dengan 3,551 jatuhan pin, manakala Timmy Tan berada di tangga ke-15 dengan 3,258 jatuhan pin.

Sementara itu, dalam acara wanita, pemain veteran negara, Shalin Zulkifli, gagal mempertahankan kedudukan tempat ketiga selepas blok pertama apabila menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan jumlah kutipan 3,383 jatuhan pin.

Victoria Chin muncul peserta wanita negara terbaik dengan menghuni tempat keenam dengan 3,400 jatuhan pin, Sin Li Jane (10) 3,314, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (13) 3,249 dan Esther Cheah di tempat ke-16 dengan jumlah 3,129 jatuhan pin.

Malaysia muncul naib juara keseluruhan dengan merangkul tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Juara diraih Korea Selatan, dengan tiga emas, empat perak dan dua gangsa.

Tuan rumah, Hong Kong, menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan membawa pulang tiga emas, satu perak dan dua gangsa. - BERNAMA

Berita Harian X