Selasa, 27 September 2016 | 11:58am
JOEY Barton.
JOEY Barton.

Souness gesa Rangers selesai isu bersama Barton

LONDON: Bekas pengurus Rangers, Graeme Souness mahu gergasi Scotland itu menyelesaikan segala perselisihan bersama pemain, Joey Barton.

Barton ketika ini dipinggirkan susulan pertelingkahan dengan pengurus, Mark Warburton dan rakan sepasukan, Andy Halliday selepas kekalahan 5-1 kelab itu kepada Celtic pada aksi tetangga Glasgow.

Kekalahan 2-1 kepada Aberdeen pada minggu lalu - sekali lagi tanpa khidmat Barton - bermakna Rangers kini hanya mengumpul sembilan mata daripada tujuh perlawanan liga musim ini.

Barton menegaskan dia tidak mahu meninggalkan Ibrox dan bekas pemain kebangsaan Scotland, Souness menggesa Rangers supaya jangan memaksa Barton meninggalkan kelab itu.

"Joey sudah bermain di tahap tertinggi, dia bermain di Liga Perdana Inggeris. Kami melakukan kerja yang sama di televisyen bagi kejohanan Euro di Dublin bersama ketika musim panas," kata Souness.

"Apabila dia bercakap mengenai bola sepak, dia amat, amat berpengetahuan. Dia bercakap dengan amat baik dan meluahkan keinginannya untuk menjadi jurulatih atau pengurus satu hari nanti.

"Dia kini berusia 34 tahun, kamu perlu berfikir dia kini berada di posisi di mana dia kini mampu membantu beberapa pemain-pemain muda yang bermain bersamanya.

"Rangers mempunyai pasukan yang muda dan mereka pasti perlukan bantuan daripada pemain-pemain senior. Saya amat percaya dalam kelab bola sepak, kamu hanya berpeluang untuk bermain dengan baik apabila kamu mempunyai pemain senior yang baik.

"Adakah saya berharap ia mendapat jalan penyelesaian? Jelas saya amat mahukannya kerana dia mempunyai sesuatu untuk ditawarkan. Dia mempunyai sesuatu yang boleh ditawarkan dalam bola sepak." - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X