Isnin, 26 September 2016 | 6:15am

KL Converge! 2016 beri impak besar

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak melihat kandungan kreatif yang dipamerkan pada program KL Converge! 2016 di ibu negara.
MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak melihat kandungan kreatif yang dipamerkan pada program KL Converge! 2016 di ibu negara.

PROGRAM KL Converge! 2016 yang berlangsung tiga hari dan berakhir semalam, bertemakan Touch the Future menghimpunkan cita rasa seni dan kreativiti masyarakat tempatan dan rantau Asia, sekali gus membina harmoni dan nilai kemanusiaan bersifat sejagat demi perpaduan, kemajuan dan kedamaian masa kini dan masa hadapan.

Program yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu juga menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Pasaran Industri Komunikasi dan Industri Kandungan Kreatif terkemuka pada peringkat antarabangsa, khususnya di Asia kerana tiada satu platform seumpamanya diadakan di rantau ini setakat ini.

Manfaatnya tentulah besar, khususnya kepada pengusaha dan negara. Program itu dilihat dapat meningkatkan integrasi dan perkongsian sumber serta pengalaman dalam kalangan usahawan industri komunikasi dan kandungan digital kreatif.

Pengunjung program, selain dapat menyaksikan Pameran Industri Komunikasi dan Industri Kandungan Kreatif dan Ekspo TV, juga dapat mengikuti persidangan serta bengkel mengenai perfileman dan bidang animasi.

Peluang saksi teater digital

Program kali ini turut memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan teater digital, pertandingan muzik dan video pendek serta sesi pemadanan industri kandungan kreatif.

Lebih 100 agensi dan syarikat komunikasi terkemuka tempatan dan luar negara menyertai KL Converge! 2016, antaranya Maxis, Celcom, Telekom Malaysia, Media Prima Berhad, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Perbadanan Filem Nasional (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysia East Asia Satellite (MEASAT).

Yang turut serta, beberapa syarikat dari Jepun, termasuk Fujitsu Limited, Bonx Inc. dan NEC Corporation, selain syarikat dari Korea, China dan Singapura.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang bertindak sebagai penganjur program, menganggarkan hasil kutipan sekitar RM15 juta melalui urus niaga langsung dan tidak langsung sepanjang program ini yang dianggar dikunjungi lebih 15 ribu pengunjung.

Selain masyarakat umum, KL Converge! 2016 menyasarkan kalangan belia terdiri daripada penggiat seni industri kandungan kreatif yang berminat untuk mempelajari, mendalami dan menghayati dunia digital yang sedang pesat berkembang.

KL Converge! 2016 adalah yang ketiga dianjurkan di ibu negara dengan agensi serta syarikat komunikasi yang mengambil bahagian kali ini menyajikan kelainan dalam menyediakan persembahan dan paparan kepada pengunjung.

Dalam penyertaan KL Converge! 2016 ini, FINAS menganjurkan tiga komponen program utama, iaitu persidangan Asia Content Summit Ke-5 (ACBS), Son Et Lumiere dan VFX in Film Summit.

Malaysia melalui FINAS menjadi tuan rumah bagi program tahunan ACBS dengan penyertaan 80 delegasi antarabangsa dari 12 negara seperti Jepun, Indonesia, Korea, China, Kanada dan Amerika Syarikat. Ia bagi membincangkan hala tuju pembangunan kandungan kreatif antarabangsa melalui sesi dialog, disertai wakil kerajaan dan swasta, media serta penyiar.

Son Et Lumiere pula yang bermaksud 'bunyi' dan 'cahaya' adalah refleksi kepada penonjolan sinema sebagai medium kandungan interaktif dengan pengkhususan kepada Virtual Reality Demo dan teknologi digital yang disampaikan dalam bentuk seminar, dialog dan pameran.

Pameran FINAS dilihat sebagai alat ubah industri melalui promosi modal insan, produksi, pemuliharaan dan arkib, pembangunan industri, insentif dan dana.

VFX in Film Summit pula adalah kesan khas visual yang digunakan dalam pembangunan kandungan dan filem dipromosi di KL Converge! 2016 sebagai aspek inovasi dalam landskap industri.

Karyawan muda yang berkecimpung dalam aspek VFX di dalam dan luar negara turut ditonjolkan dalam VFX in Film Summit ini.

MYNIC Bhd umpamanya mengadakan Fiesta Blog Shop, iaitu karnival mengumpul lebih 30 syarikat blog dalam talian (online bloggers), termasuk perniagaan dalam talian oleh selebriti terkenal tanah air yang akan membuat jualan secara langsung. Peluang juga terbuka kepada pengunjung beramah mesra dengan mereka.

Astro turut menayangkan secara percuma filem mendapat sambutan ramai seperti Polis Evo, The Journey, Langit Cinta, Suamiku Encik Perfect 10 dan sebuah dokumentari baharu dilancarkan September ini, iaitu dokumentari Harimau Malaya 1980.

Program KL Converge! 2016 ini turut diisi dengan persembahan oleh artis dan kumpulan muzik tanah air di pentas utama. Antara yang mengadakan persembahan, termasuk ratu rock, Ella dan penampilan khas pelajar Akademi Fantasia 2016.

Prospek pelaburan

Penganjuran program ini membuktikan Malaysia sentiasa berusaha mengembang dan memperkasakan industri komunikasi dan kandungan kreatif demi manfaat seni dan ekonomi pengusaha serta negara, iaitu salah satu projek berkaitan industri kandungan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) negara.

Semoga matlamat menambah sekurang-kurangnya 10 peratus lagi penggiat industri kreatif tempatan bertaraf antarabangsa serta menjadikan Malaysia sebagai hub industri kreatif antarabangsa melalui penganjuran program KL Converge! 2016 ini menjadi kenyataan.

KL Converge! 2106 menjanjikan prospek pelaburan, di samping melayani kecintaan terhadap seni dan kreativiti dalam industri komunikasi dan kandungan digital kreatif serta teknologi ICT.

Mengunjunginya ternyata tidak akan mempersia-siakan masa dan tenaga yang terluang. Pengunjung juga dibawa menyelami gambaran dunia digital hari muka.

Penulis ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X