Sabtu, 24 September 2016 | 5:55pm

Sekolah perlu patuh peraturan keselamatan sedia ada

KETUA Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof (kanan) merasmikan Program Jelajah Kementerian Pendidikan di Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar
KETUA Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof (kanan) merasmikan Program Jelajah Kementerian Pendidikan di Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Pihak sekolah perlu mengikut peraturan mengenai langkah keselamatan murid sedia ada yang digariskan Kementerian Pendidikan, bagi mengelakkan insiden kemalangan murid di sekolah berulang.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata peraturan yang dibuat itu sudah mencakupi segala aspek berkaitan keselamatan murid termasuk ketika murid tiba, berada dan pulang dari sekolah.

Justeru, katanya, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) perlu memastikan sekolah di seluruh negara melaksanakan peraturan itu.

"Kita mahu murid-murid berada dalam keadaan selamat dan peraturan ini perlu dipatuhi dari semasa ke semasa.

"Kita kesal dan sedih dengan tiga kejadian kemalangan yang membabitkan murid-murid kita sejak kebelakangan ini dan pihak sekolah harus mengambil berat mengenai kejadian seumpama ini agar tidak berlaku lagi," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPN Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim.

Sementara itu, Khair berkata program itu adalah langkah terbaik bagi mewujudkan medium interaksi antara kementerian dan orang ramai.

"Guru, murid dan ibu bapa boleh bertanyakan pelbagai masalah yang membabitkan isu atau maklumat yang terdapat di kementerian.

"Siri jelajah ini adalah yang ketiga selepas Miri dan Alor Star, manakala yang keempat akan diadakan di Perak pada Oktober ini iaitu program terakhir jelajah itu pada tahun ini," katanya.

Berita Harian X