Sabtu, 24 September 2016 | 3:40pm
KEADAAN motosikal jenis Ducati yang terbakar sepenuhnya.

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut terbabit nahas

BOMBA memandamkan kebakaran motosikal jenis Ducati yang terbabit kemalangan di Kilometer 276 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban di Seremban, tadi.

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Singapura maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya, terbabas di Kilometer 276, Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, Wong Chee Wai, 26, yang dalam perjalanan ke ibu kota, dipercayai terbabas sebelum terjatuh ke laluan kanan, manakala motosikal jenis Ducati dinaikinya terbakar sebaik melanggar penghadang jalan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di anggota badan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Badrol Tamam Abdul Rahim, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.22 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan tujuh pegawai serta anggota.

Katanya, bomba mengambil masa tiga minit untuk memadamkan kebakaran, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat.

Berita Harian X