Khamis, 22 September 2016 | 8:21pm
Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Kerjasama negara ASEAN hadapi ancaman keganasan

Abdul Rahim (lima dari kiri) dan Ro Manabe (enam dari kiri) bergambar bersama wakil Menteri Pertahanan dari negara ASEAN pada Forum Naib Pertahanan Jepun-ASEAN kali ke-8 di Sendai, Jepun. - Foto Faiza Zainuddin

SENDAI (Jepun): Negara anggota ASEAN kini berdepan pelbagai cabaran semasa termasuk ancaman keganasan militan, keselamatan maritim dan bencana alam, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Beliau berkata, cabaran keselamatan itu akan terus berkembang dan boleh bertukar menjadi senario lebih kompleks yang mampu mengancam keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara jika tidak ditangani secara berkesan.

"Saya percaya ASEAN dan rakan dialog lain akan terus bekerjasama melalui rangkaian hubungan yang lebih tersusun, bersepadu dan kreatif kerana ia menjadikan kita lebih berdaya saing serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa kini dan akan datang.

"Jepun sebagai rakan dialog dalam Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) turut berperanan penting di rantau ini dan kita berjaya menjalankan latihan ketenteraan besar-besaran membabitkan 10 negara ASEAN serta lapan negara rakan dialog," katanya dalam ucapan bertajuk 'Status Semasa Keselamatan Serantau' pada Forum Naib Menteri Pertahanan Jepun-ASEAN kali ke-8 di sini, hari ini.

Perbincangan dua hala antara Malaysia diwakili Abdul Rahim (kiri) dan Ro Manabe (dua dari kanan) yang juga Pengerusi Forum Naib Menteri Pertahanan Jepun-ASEAN kali ke-8 di Sendai, Jepun. - Foto Faiza Zainuddin

Forum dua hari anjuran Kementerian Pertahanan Jepun itu bermula kelmarin dan berakhir semalam disertai wakil Menteri Pertahanan ASEAN dari 10 negara.

Jepun diwakili Naib Menteri Pertahanan bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Ro Manabe.

Mengenai isu keselamatan maritim di Selat Sulu dan Laut China Selatan, Abdul Rahim berkata, perkara itu perlu ditangani segera dan secara bersama negara anggota ASEAN.

Beliau berkata, cabaran keselamatan tidak boleh ditangani satu negara saja, sebaliknya memerlukan kerjasama serantau bagi mengelak sebarang konflik.

Katanya, pendirian Malaysia terhadap isu berkenaan adalah jelas iaitu perlu diselesaikan secara aman tanpa sebarang ancaman dan penggunaan kekerasan selaras undang-undang antarabangsa.

"Malaysia percaya semua pihak berkaitan boleh menyelesaikan pertikaian dengan menghormati kedaulatan, diplomatik dan proses undang-undang.

"Contohnya, kerjasama Trilateral Cooperative Arrangement baru-baru ini membabitkan Indonesia, Malaysia dan Filipina bagi menangani ancaman keselamatan yang meningkat di Laut Sulu seperti jenayah rompakan, penculikan untuk tebusan serta penyeludupan," katanya.

Beliau berkata, menerusi perjanjian itu, negara berkenaan akan terus meronda menggunakan mekanisme sedia ada dalam menawarkan bantuan segera untuk keselamatan kapal, perkongsian maklumat dan hubungan komunikasi antara ketiga-tiga negara.

"Difahamkan ketika Dialog ASEAN-China pada 7 September lalu, Menteri Luar negara ASEAN dan China turut mengeluarkan kenyataan bersama mengenai Pelaksanaan Berkesan Deklarasi Tatalaku Pihak di Laut China Selatan.

"Ini bermakna semua pihak terbabit dengan isu Laut China Selatan komited mencari penyelesaian terbaik melalui rundingan substantif dan kod etika ditetapkan," katanya.

Berita Harian X