Selasa, 25 November 2014 | 1:35pm
TIMBALAN Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong. - Foto Yazit Razali

Untung bersih GLC G20 RM162.3b, 2004-2013

KUALA LUMPUR: Dua puluh syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang tersenarai dalam Program Transformasi GLC, mencatat keuntungan bersih sebanyak RM162.3 bilion bagi tahun kewangan 2004 hingga 2013.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata dalam tempoh sama, cukai berjumlah RM56.6 bilion dibayar oleh GLC berkenaan yang turut dikenali sebagai G20.

"Keuntungan bersih itu merangkumi RM9.9 bilion pada 2004, RM7 bilion pada 2005, RM10.5 bilion (2006), RM19.2 bilion (2007), RM14.5 bilion (2008), RM11.8 bilion (2009), RM17.1 bilion (2010), RM20.6 bilion (2011), RM26.1 bilion (2012) dan RM25.6 bilion pada 2013," katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat di sini hari ini.

Soalan Nurul Izzah berkisar kepada aspek kewangan GLC.

Mengulas lanjut, Chua berkata jumlah aset kasar GLC khususnya yang terbabit dalam G20 bagi tahun kewangan 2013 ialah RM1,382.3 bilion selain jumlah liabiliti kasar RM946.8 bilion manakala aset bersih pula berjumlah RM435.6 bilion. - BERNAMA

Berita Harian X