Khamis, 22 September 2016 | 12:22pm

Zamani sedia nyanyi lagu Siti jika ada permintaan


PENYANYI, Zamani. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Zamani Ibrahim, 45, sedia untuk menyanyikan lagu Datuk Siti Nurhaliza pada Konsert Tiga Suara jika ada peminat yang membuat permintaan sedemikian.

Begitupun menurut vokalis Slam itu, dia harus merujuk kepada penganjur terlebih dulu sebelum mempersembahkan sebarang lagu pada konsert yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, mulai malam ini hingga 25 September.

Konsert yang menggabungkan tiga vokalis lelaki hebat, Datuk Jamal Abdillah, Zamani dan Ameng, adalah anjuran syarikat milik penyanyi Azura berkenaan, Binjamal Event Sdn Bhd.

Selain mereka bertiga, turut ditampilkan pada persembahan berskala besar itu ialah adik Jamal sendiri, Jamilul Hayat, yang juga penyanyi era 1980-an.

Zamani berkata demikian ketika ditanya oleh wakil media mengenai perkara itu selepas majlis pratonton konsert, malam tadi. Sebelum itu, Jamal memenuhi permintaan peminatnya dengan menyanyikan lagu dendangan asal Ziana Zain, Kalau Mencari Teman.

"Apa pun, saya kena tanya bos (merujuk kepada Jamal). Kalau Jamal pun boleh menyanyikan lagu Ziana, jadi saya bukanlah satu masalah besar kalau saya mahu menyanyikan lagu Siti," jawab Zamani ringkas.

Zamani dan penyanyi wanita nombor satu negara itu pernah digosipkan bercinta pada satu ketika dulu.

Sementara itu Jamal berkata, konsert terbabit memberi peluang kepada rakan penyanyi yang pernah mengalami nasib sepertinya untuk kembali bangkit dan membina semula nama dalam industri seni.

Hingga kini, sebanyak 80 peratus tiket difahamkan sudah disambar peminat. Bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan menonton persembahan tiga penyanyi hebat itu, boleh melayari www.ilassotickets.com atau menghubungi 03-2170633.

Berita Harian X