Selasa, 20 September 2016 | 12:25pm

POKB bantu kanak-kanak sumbing bibir jalani pembedahan

KETUA Pasukan JPAM-POKB, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Dr Mohd Zain Yusof (dua dari kiri) memberi nasihat terhadap ibu kepada seorang bayi penyakit sumbing dan saraf, Muhamad Ziqry Aiman Edey Sherry, 2, yang dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pembedahan rekahan bibir dan lelangit dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dan Malindo Air. - Foto Faris Zainuldin

KOTA BHARU: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) membantu seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang sumbing bibir bagi menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), hari ini.

Kanak-kanak berkenaan, Muhamad Ziqry Aiman Edey Sherry, 2, diterbangkan menerusi penerbangan Malindo Air, ke PPUM, petang semalam, bagi menjalani pembedahan rekahan bibir dan lelangit.

Ketua Pasukan POKB, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Dr Mohd Zain Yusof, berkata inisiatif bersama Malindo Air itu adalah kesinambungan daripada Program Ziarah Kasih yang dilancarkan POKB.

Katanya, program berkenaan adalah untuk memberi bantuan kepada pihak yang tidak bernasib baik.

"Seperti Muhamad Ziqry, POKB cuba mencari jalan dengan mengumpul dana perubatan sehingga pembedahannya dapat dilakukan secepat mungkin.

"Akhirnya Muhamad Ziqry akan menjalani pembedahan membaiki rekahan bibir dan lelangit di PPUM hari ini. Selepas pembedahan, rawatan untuk penyakit sarafnya akan dilakukan secara berperingkat mengikut perkembangan kesihatannya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Leeyana Hamu, 19, berkata dia amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak, terutama POKB yang menanggung kos rawatan pembedahan anak sulungnya itu.

"Kalau tiada bantuan sukar bagi saya dan keluarga untuk menanggung kos rawatan dan pembedahan anak. Suami, Edey Sherry Ramli, 24, hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM900 sebulan dan saya hanya seorang suri rumah.

"Sekarang, saya dan suami hanya berdoa dan mengharapkan pembedahan berjalan dengan baik," katanya.

Berita Harian X