Selasa, 20 September 2016 | 10:29am

Mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 224

PANTAI Remis, Kuala Selangor. - Foto ihsan Bomba
PANTAI Remis, Kuala Selangor. - Foto ihsan Bomba

SHAH ALAM: Jumlah mangsa banjir di kawasan pesisir pantai Selangor meningkat dari 136 kepada 224, sejak malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata tiga pusat pemindahan dibuka di negeri ini iaitu di Kampung Tok Muda, Kapar (152 mangsa); Kampung Tok Adam, Tanjong Karang (15 mangsa) dan Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, 57 mangsa.

"Beberapa kawasan lain turut terjejas tetapi tiada pemindahan dijalankan. Kawasan berkenaan ialah Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Jalan Klang-Banting, Pendamaran, Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang, Bagan Pasir Penambang, Tebuk Mendeleng dan Sungai Lang.

"Seramai 52 keluarga terbabit dengan pemindahan hingga jam 8 pagi ini," katanya sambil menambah dua lagi daerah iaitu di Sepang dan Kuala Langat, tidak mengalami limpahan air laut.

Berita Harian X