Isnin, 19 September 2016 | 5:56pm

Penduduk bimbang batu lima tan jatuh dari bukit

BALING: Lebih 50 penduduk Kampung Padang Cik Mas, Pulai, di sini bimbang apabila batu seberat lima tan jatuh dari bukit berhampiran dan hampir mengenai beberapa rumah, awal pagi ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, batu sebesar tiga pemeluk jatuh kira-kira 100 meter dari rumah penduduk hingga menyebabkan paip air utama ke kampung itu pecah.

Penduduk, Latipah Lahman, 54, berkata kejadian ketika hujan lebat hingga berlaku hakisan dan rekahan di puncak gunung berkenaan.

"Saya terkejut dengan bunyi kuat seperti bom di hadapan rumah sebelum mendapati ada batu besar dipercayai jatuh dari gunung terbabit ke tepi jalan utama yang dilalui penduduk setiap hari.

"Saya bimbang sekiranya berlaku lagi kejadian sama yang boleh membahayakan penduduk kampung," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham Che Li, berkata batu besar itu dipercayai terjatuh dari puncak berkenaan kesan aktiviti penduduk yang mencari pokok kayu hiasan seperti pokok kayu aji di gunung berkenaan sebelum ini.

"Saya cadangkan pihak berkuasa berkaitan memasang jaring di kawasan itu bagi mengelakkan serpihan batu daripada melantun ke penempatan penduduk, termasuk ke jalan utama," katanya.

Berita Harian X