Ahad, 18 September 2016 | 12:02am
SEBAHAGIAN aktiviti penggiat sukan peluncur udara di Bukit Bubus. - Foto Aswadi Alias
PARAGLIDING adalah sukan yang amat selamat, mudah dipelajari dan tidak memerlukan perbelanjaan besar. - Foto Aswadi Alias
PARAGLIDING diilhamkan daripada burung helang yang terbang bebas dan megah di udara.
PAYUNG terjun terpakai berharga RM5,000. - Foto Aswadi Alias
PENGGIAT sukan paragliding dari Negeri Sembilan, Futra Nor Ehzan. - Foto Aswadi Alias
PRESIDEN Kelab Penerbangan Rekreasi Negeri Sembilan, Nasaruddin A Bakar. - Foto Aswadi Alias

Terbang bebas umpama helang dengan paragliding


PARAGLIDING kini semakin diminati rakyat Malaysia yang inginkan kedamaian dan kenikmatan terbang bebas di udara sambil menikmati keindahan alam semula jadi . - Foto Aswadi Alias

BESUT: Ketenangan, kedamaian dan nikmat terbang bebas di udara seperti burung camar laut sambil menikmati keindahan alam semula jadi adalah antara daya tarikan utama mengapa ramai rakyat di Malaysia kini semakin meminati sukan luncur udara paragliding.

Sukan luncur udara paragliding, sebenarnya amat selamat, mudah dipelajari termasuk menerusi video di YouTube dan tidak memerlukan perbelanjaan besar seperti paramotor atau payung terjun yang boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

Malah, bagi yang benar-benar berminat, mereka boleh membeli sendiri peralatan paragliding terpakai termasuk payung terjun yang masih elok dengan harga serendah RM5,000 atau menyewanya dengan harga serendah RM100.

Bagaimanapun, sebelum terjebak dengan sukan lasak ini, setiap juruterbang paragliding perlulah mengikuti latihan asas, mengetahui secara mendalam mengenai risiko serta teknik betul untuk menerbangkan dan mendarat payung terjun dengan selamat, sebelum diberikan lesen terbang.

Setiap juruterbang paragliding juga wajib memakai kasut, topi keledar dan sarung tangan sesuai ketika mengikuti aktiviti paragliding atau paramotor.


PESERTA paragliding bersedia untuk belepas dari puncak Bukit Bubus. - Foto Aswadi Alias

Perbezaan utama sukan paragliding dengan paramotor ialah paragliding perlu berlepas dari tempat tinggi kerana bergantung kepada angin dan wap panas untuk naik dan terapung manakala paramotor dibantu enjin serta berlepas dari darat.

Sukan paramotor lazimnya menggunakan enjin jenis dua lejang yang mempunyai kuasa antara 80cc hingga 350cc yang menggunakan kuasa minyak dan petrol. Ia boleh diterbangkan dengan kelajuan 45 hingga 70 kilometer sejam bergantung kepada keadaan angin.

Antara lokasi tumpuan peminat sukan paragliding di Semenanjung Malaysia ialah Pulau Indah, Jugra dan Banting di Selangor; Gunung Ledang di Johor; Bukit Sendayan di Negeri Sembilan; Bukit Chendering dan terbaru, di Kota Putra Paragliding Park Bukit Bubus, berhampiran Bukit Keluang, Besut di Terengganu.


PESERTA paragliding yang mengalami masalah payung terjun utama masih boleh menggunakan payung terjun sokongan untuk mendarat dengan selamat. - Foto Aswadi Alias

Seorang penggiat sukan paragliding dari Negeri Sembilan, Futra Nor Ehzan, 47, ketika ditemui, mengakui sukan paragliding sebenarnya selamat kerana setiap juruterbang mempunyai dua payung terjun iaitu payung utama dan sokongan.

"Jika payung terjun utama mengalami masalah kita boleh gunakan payung terjun sokongan untuk mendarat dengan selamat.

"Bagi saya, terbang dengan paragliding lebih mudah berbanding menunggang motosikal berkuasa tinggi yang lebih risiko tinggi untuk kemalangan.

"Bagaimanapun, tidak kira jenis sukan luncur udara, aspek paling diutamakan ialah belajar mengetahui arah pergerakan angin dan cuaca, tidak terlalu bongkak dengan melakukan sesuatu di luar jangkaan," katanya ketika ditemui di Program Paragliding Fly for Fun Merdeka 2016 di Kota Putra Paragliding Park Bukit Bubus di sini.

Bagi Presiden Kelab Penerbangan Rekreasi Negeri Sembilan, Nasaruddin A Bakar, berkata tujuan utama kelabnya menganjurkan program itu adalah mencatatkan rekod baharu dalam Malaysia Books of Record (MBR) dengan menerbangkan 59 bendera Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-59.


PELATIH paragliding baharu perlu menjalani latihan asas selama empat hari. - Foto Aswadi Alias

Bagaimanapun, keadaan cuaca kurang baik dan tiupan angin tidak sekata menyebabkan juruterbang paragliding gagal menerbangkan 59 bendera Jalur Gemilang secara serentak untuk mencipta rekod MBR.

"Peserta tetap berpuas hati kerana dapat menikmati udara segar, menyaksikan pemandangan pantai yang indah, kebiruan air laut serta kehijauan hutan di sekitar lokasi Bukit Bubus, Bukit Keluang dan Laut China Selatan pada ketinggian antara 300 hingga 500 meter dari paras laut," katanya.

INFO PARAGLIDING:

- Diilhamkan daripada burung helang yang terbang bebas dan megah di udara.

- Pelatih baharu perlu menjalani latihan asas selama empat hari

- Kelab luncur udara juga menawarkan latihan lanjutan sehingga 30 hari

- Empat peringkat lesen iaitu P1 (amatur), P2 (mahir), P3 (profesional) dan Jurutamdem

INFO: PERALATAN

- Payung terjun sokongan, topi keselamatan, kasut sukan dan sarung tangan.

- Gajet tambahan peranti radio perhubungan, variometer (alat mengukur paras ketinggian) dan sistem kedudukan global (GPS) digunakan untuk penerbangan merentas desa.

FAKTA NOMBOR:

RM5,000 - harga payung terjun terpakai

200 meter - paras ketinggian terbang minimum paragliding

Berita Harian X