Jumaat, 16 September 2016 | 9:36pm

Vietnam tak sertakan ratifikasi TPPA

HANOI: Vietnam tidak akan memasukkan ratifikasi Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dalam agenda bagi sesi Parlimen akan datang, kata pegawai negara itu berikutan ketidaktentuan terhadap masa depan perjanjian perdagangan yang ditandatangani Presiden Barack Obama.

Selepas pertikaian membabitkan manfaat yang meliputi 40 peratus daripada ekonomi global, Vietnam dijangka menjadi negara pertama yang akan menandatangani TPPA, prospek yang membantu merangsang rekod pelaburan asing pada tahun lalu dalam memacu sektor pembuatan.

"TPPA tidak akan berada dalam agenda perhimpunan kerana kertas cadangan kerajaan belum lagi siap," kata sumber Parlimen .

Pengesahan perjanjian oleh Vietnam dianggap sudah diluluskan pada Januari lalu oleh pegawai tertinggi Parti Komunis yang memerintah.

Penangguhan itu bermakna, paling awal ratifikasi oleh Vietnam akan dilaksanakan beberapa bulan selepas pilihan raya Presiden AS pada November ini.

Rundingan TPPA dimuktamadkan tahun lalu untuk mewujudkan zon perdagangan 12 anggota dengan gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak AS$27 trilion.

Ia bertujuan meningkatkan standard dan mencabar pengaruh ekonomi China dan perdebatan di AS menyebabkan kegelisahan dalam kalangan anggota termasuk Jepun, Malaysia, Singapura, Brunei, Peru, Chile, Australia, New Zealand, Kanada dan Mexico.

Bagaimanapun, Obama melahirkan keyakinan mendapat kelulusan Kongres untuk melaksanakan TPPA, sebelum dia melepaskan jawatan.

Kegagalan untuk berbuat demikian akan menjejaskan kepemimpinan AS di rantau ini dan membenarkan China menetapkan peraturan perdagangan serantau.

Dengan kekuatan Vietnam dalam industri elektronik, tekstil, makanan laut dan komoditi, TPPA dilihat sebagai pemacu perubahan bagi ekonomi yang bergantung kepada eksport. - Reuters

Berita Harian X