Jumaat, 16 September 2016 | 11:47am

Kajian awal sahkan kaitan Zika dengan mikrosefali

WANITA dan bayi menerima rawatan di hospital Brazil. - Foto www.newsweek.com
WANITA dan bayi menerima rawatan di hospital Brazil. - Foto www.newsweek.com

LONDON: Keputusan awal kajian kes kawalan penting di Brazil mengesahkan kaitan langsung antara jangkitan virus Zika wanita hamil dan kecacatan kelahiran, mikrosefali, pada bayi, kata saintis.

Namun ketika penemuan awal daripada 32 kes pertama yang terbabit dalam kajian mengesahkan kaitan itu, penyelidik berkata kesan sebenar hanya jelas selepas analisis penuh dibuat ke atas semua 200 kes dan 400 kawalan.

Kajian itu yang disiarkan dalam jurnal The Lancet Infectious Diseases, diminta oleh Kementerian Kesihatan Brazil untuk menyiasat punca wabak mikrosefali yang diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai kecemasan kesihatan umum antarabangsa awal tahun ini.

Penularan Zika menerusi nyamuk, dikesan tahun lalu di Brazil yang menyaksikan ia dikaitkan dengan lebih 1,700 kes mikrosefali, kecacatan kelahiran yang menyebabkan saiz kepala lebih kecil yang membawa kepada masalah perkembangan teruk.

Virus berkenaan merebak pantas di Amerika dan Caribbean.

Ketika WHO dan pakar penyakit lain berkata, ada bukti saintifik kukuh menyatakan Zika dan mikrosefali ada kaitan, bukti kaitan setakat ini tidak kukuh.

Profesor di Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London, Laura Rodrigues, yang menjalankan kajian berkenaan, berkata keputusan itu membuktikan kaitan berkenaan.

Penyelidik menyusul dan membandingkan kehamilan yang menghasilkan bayi sihat dengan mereka yang menghidap mikrosefali, mencari petanda virus Zika dipindahkan kepada janin yang menyebabkan kecacatan. - Reuters

Berita Harian X