Jumaat, 16 September 2016 | 9:13am

Dunia perlu bersedia hadapi wabak mikrosefali - Kajian

PARIS: Dunia perlu bersiap sedia berhadapan 'wabak global' mikrosefali, keadaan yang mengehadkan pertumbuhan kepala pada janin, ketika virus zika mula merebak di negara baharu, kata penyelidik.

Saintis dari Brazil dan Britain berkata, mereka menemui bukti tambahan Zika adalah punca kecacatan itu, kaitan yang sudah pun diterima secara meluas dalam dunia perubatan.

Dalam kajian terhadap bayi baru lahir di Brazil, negara paling teruk terjejas akibat penularan wabak itu, hampir separuh daripada 32 bayi dengan mikrosefali mempunyai kesan virus Zika dalam darah atau cecair serebrospina.

Tiada seorang pun daripada 62 bayi yang lahir dengan kepala normal diuji positif Zika dalam darah mereka.

Kaitan jelas itu membawa penyelidik merumuskan wabak mikrosefali adalah disebabkan jangkitan virus Zika kongenital.

"Jika benar, kita perlu bersedia berhadapan wabak mikrosefali merebak ke semua negara yang ada pemindahan virus Zika tempatan dan ke negara yang pemindahan virus berkemungkinan menular.

"Kami mencadangkan kita bersedia menangani wabak global mikrosefali dan manifestasi lain sindrom Zika kongenital," kata penyelidik.

Penyelidik juga mencadangkan menambah Zika ke dalam kategori jangkitan kongenital yang diketahui berlaku sebelum atau ketika kelahiran.

Zika adalah virus yang disebarkan oleh nyamuk tetapi dalam kes jarang berlaku ia juga boleh dijangkiti melalui seks. - AFP

Berita Harian X