Jumaat, 16 September 2016 | 12:07am

Manfaat air cucian beras untuk kecantikan

mshaifultbh.com.my

SEBELUM menanak nasi, sudah tentu anda akan membasuh beras itu terlebih dulu. Biasanya, air cucian itu akan dibuang kerana beranggapan ia tidak bermanfaat.

Sebenarnya, air basuhan beras itu boleh digunakan untuk penjagaan kecantikan. Air beras mengandungi pelbagai khasiat tersembunyi yang akan membuat anda lebih cantik dan paling penting, dapat berjimat berbanding membeli produk kecantikan.

AURA berkongsi enam manfaat yang terdapat di dalam air cucian beras.

1. Serlahkan warna kulit

Air cucian beras dapat menghilangkan setiap kotoran dan sebum berlebihan yang terdapat pada kulit muka. Cara penggunaannya adalah dengan merendamkan kapas dalam air cucian beras dan lapkan pada kulit muka. Jika ia dijadikan sebagai rutin, hasilnya kulit wajah akan menjadi lebih lembut dan segar.

2. Topeng muka

Air cucian beras juga dapat menggantikan topeng muka yang kebanyakan dijual di pasaran. Cara penggunaannya, ambil topeng muka yang sudah tidak digunakan atau kain, rendamkan ia dalam air cucian beras selama 10 minit.

Kemudian, letakkan pada wajah dan biarkan selama 15 minit. Pasti kulit akan terasa segar berbanding biasa selepas memakainya.

3. Sebagai pencuci muka

Air cucian beras selalunya berwarna putih pekat dan ternyata ia mengandungi pelbagai khasiat. Ia boleh disimpan di dalam botol atau bekas yang sesuai.

Malahan, ia boleh digunakan sebagai pencuci muka buatan sendiri. Khasiatnya baik untuk mencerahkan kulit muka. Perbezaan akan dapat dilihat selepas menggunakannya seharian.

Ternyata ia lebih selamat berbanding produk kosmetik sedia ada yang kebanyakan mengandungi bahan kimia.

4. Mengecilkan liang pori

Kelebihan menggunakan air cucian beras untuk kecantikan wajah adalah sangat baik. Ia dapat mengecilkan liang pori dan membuatkan kulit wajah lebih segar dan anjal.

Cara untuk mengecilkan liang pori adalah rendamkan kapas dalam air cucian beras dan lapkan kapas berkenaan pada kulit muka. Usap dan urut secara perlahan-lahan setiap pagi dan petang.

5. Menghilangkan jerawat

Bukan semua produk kosmetik sesuai dengan kulit wajah kita. Ada produk kosmetik yang akan membuatkan kulit lebih teruk dan hodoh.

Ia kerana bahan kimia yang terkandung tidak bersesuaian dengan kulit wajah. Tetapi jangan terkejut bahawa air cucian beras boleh juga menghapuskan jerawat dan jeragat di kulit muka. Air cucian beras ini terbukti dan ternyata dapat menyembuhkan masalah kulit muka secara semula jadi dan lebih cepat.

6. Boleh jadi pencuci rambut

Selain pada wajah, air cucian beras juga boleh digunakan sebagai pencuci rambut. Dengan air cucian beras ini, ia akan menjadikan rambut lebih bersinar tanpa memerlukan rawatan yang mahal.

Caranya mudah, tuangkan air beras pada kulit kepala dan biarkan selama 20 minit. Kemudian, bilas dengan menggunakan syampu supaya bau air cucian beras tidak melekat pada rambut.

INFO: Mencuci muka dengan air beras

  • Cuci semangkuk beras sehingga debu dan kotoran daripada beras hilang dan buang airnya.
  • - Tambahkan air dan kacau dengan tangan. Biar selama 30 minit supaya nutrisi yang terkandung pada beras masuk ke dalam air.
  • - Pisahkan air daripada beras dan basuh wajah dengan air itu. Picit lembut dengan jari selama enam minit.
  • Bilas dengan air bersih, keringkan dengan kain lembut sambil menepuk kulit.
Berita Harian X