Ahad, 11 September 2016 | 4:29pm

Kukuhkan apresiasi pelbagai kaum - Zambry

MENTERI Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir pada majlis perasmian Program Pesta Kebudayaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 di lobi pusat beli belah Ipoh Parade di Ipoh, malam tadi. - Foto Balqis Jazimah Zahari

IPOH: Penganjuran Program Pesta Kebudayaan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 bersama penduduk bukan Melayu mampu meningkatkan nilai apresiasi dalam kalangan penduduk pelbagai kaum.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata program yang menggabungkan tiga elemen iaitu Pesta Tanglung, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah usaha kerajaan negeri mengetengahkan kepada rakyat berbilang kaum menghargai dan saling menghormati.

"Program memupuk persefahaman ini akan membuatkan kita lebih menghargai.

"Kita perlu membina perpaduan dan yang paling penting, rakyat memahami ini negara mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan program berkenaan di lobi pusat beli belah Ipoh Parade di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, isteri Menteri Besar, Datin Saripah Zulkifli; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Pegawai Kewangan negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal.

Zambry berkata, apa yang dibina kini adalah penentu hala tuju dan hidup generasi masa depan.

Berita Harian X